Thursday, May 31, 2012

Kerajaan Negeri Sediakan Dana Raya RM55 Juta, Dana Remaja RM24 Juta

Menteri Besar mengumumkan Dana Raya dan Dana Remaja semalam.
Kerajaan Terengganu menjangkakan jumlah penerima bantuan dana raya tahun ini akan meningkat 10 peratus berbanding tahun lepas, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said semalam.

Berikutan itu kerajaan negeri dijangka akan membelanjakan kira-kira RM55 juta untuk dana hari raya bagi menambahkan keriangan rakyat berpendapatan rendah pada Aidilfitri ini.

Beliau berkata pada tahun lepas, lebih RM50 juta diperuntukkan bagi dana raya yang melibatkan 176,838 penerima dan jumlah itu dijangka meningkat tahun ini.


Ia berikutan keputusan kerajaan negeri menaikkan kelayakan untuk pemberian bantuan itu daripada mereka yang berpendapatan isi rumah RM1,500 kepada RM2,000.

“Kerajaan negeri telah bersetuju untuk naikkan pendapatan isi rumah kepada RM2,000 seiring dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang memberi bantuan kepada keluarga yang berpendapatan RM3,000 ke bawah,”

"Borang telah diedarkan kepada semua rakyat Terengganu yang dikenal pasti layak untuk menerima bantuan khas menjelang sambutan Aidilfitri ini.

"Permohonan itu akan diproses oleh pegawai-pegawai daerah secepat mungkin bagi membolehkan sumbangan diagihkan segera sepanjang Ramadan nanti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Kuala Terengganu, semalam.

Kerajaan Terengganu telah memperuntukkan hampir RM335 juta untuk bantuan dana raya itu sejak mula dilaksanakan pada 2005.

Dana raya diagihkan dalam tiga peringkat iaitu kepada warga emas sebanyak RM200, keluarga miskin dan orang kurang upaya (RM300) serta yang mempunyai ramai tanggungan (RM400).

Tahun lalu, kerajaan negeri membelanjakan RM50.47 juta bagi tujuan itu, RM46.88 juta (2010), RM50.62 juta (2009) dan RM47.52 juta (2008).

Sementara itu katanya, Kerajaan Terengganu juga sedang mengemaskini data bagi bantuan Dana Bakti Remaja RM200 seorang yang akan diagihkan bermula Jun ini.

Tahun lalu sejumlah RM24 juta dibelanjakan untuk program bantuan itu, RM23.42 juta (2010), RM23.15 juta (2009) dan RM18.69 juta (2008).

“Tahun ini, kita jangkakan kira-kira 95,000 remaja mendapat manafaat daripada program berkenaan di seluruh negeri dengan perbelanjaan hampir RM24 juta,” ujar Menteri Besar.

No comments:

Post a Comment