Monday, May 28, 2012

Maidam Mahu Kenal Pasti GLC Enggan Keluar Zakat

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah diarah untuk mengenal pasti anak syarikat milik kerajaan yang dikatakan enggan mengeluarkan zakat walaupun mencatat keuntungan dalam perniagaan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, adalah menjadi keutamaan kepada anak syarikat kerajaan negeri yang mencatatkan keuntungan untuk mengeluarkan zakat.

"Saya minta Maidam senaraikan jika ada syarikat-syarikat yang tidak mengeluarkan zakat dan melaporkan kepada kerajaan negeri agar tindakan susulan dapat diambil," katanya kepada pemberita selepas majlis pembayaran zakat Agro Bank kepada Maidam di Kemaman, semalam.

Ahmad Said berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media sebelum ini yang memetik Yang Dipertua Maidam Datuk Mazlan Hashim sebagai berkata ada syarikat milik kerajaan enggan melunaskan zakat perniagaan atas alasan mereka menyumbang terus kepada kerajaan.

Pada majlis itu Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agro Bank Wan Mohd Fadzmi Wan Othman menyampaikan zakat Agro Bank berjumlah RM96,253 kepada Ketua Pegawai Eksekutif Maidam Wan Harujan Wan Sulaiman yang disaksikan Ahmad dan Pengerusi Agro Bank Tan Sri Faizah Mohd Tahir.

Agro Bank juga menyerahkan sumbangan berjumlah RM44,622 kepada golongan asnaf yang terdiri daripada peniaga kecil, ibu tunggal dan pelajar di kawasan Parlimen Kemaman.

Seorang penerima bantuan Maidam berupa rumah kos rendah, Zulkifli Ngah, 42, nelayan dari Kampung Teluk Kalong di sini, melahirkan rasa syukur di atas sumbangan itu.

Bapa empat anak termasuk kembar siam yang bercantum di bahagian hadapan berumur lapan bulan, berkata sebelum ini beliau menumpang di rumah saudara mara.

"Saya akan pindah ke rumah baru seminggu dua lagi," katanya dengan gembira.

No comments:

Post a Comment