Tuesday, May 15, 2012

Maidam Perlu Serah Senarai Nama Syarikat Enggan Bayar Zakat



"Jika benar (tak bayar zakat), kita akan arahkan mereka (berbuat demikian). Perkara ini tak boleh dibuat main-main... (kita) memerlukan senarai itu bagi memastikan kesahihah dakwaan sebelum tindakan sewajarnya diambil..."
- Datuk Seri Ahmad Said.

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) diminta menyerahkan senarai syarikat milik kerajaan yang menjalankan urus niaga di negeri ini tetapi enggan membayar zakat perniagaan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata pihaknya memerlukan senarai itu bagi memastikan kesahihah dakwaan sebelum tindakan sewajarnya diambil.

Mengikut Enekmen Jenayah Takzir 2001 Terengganu, mereka yang tidak mengeluarkan zakat boleh dikenakan denda, katanya.

"Jika benar (tak bayar zakat), kita akan arahkan mereka (berbuat demikian) Perkara ini tak boleh dibuat main-main," katanya kepada pemberita, di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau diminta mengulas laporan media yang memetik Yang Dipertua Maidam Datuk Mazlan Hashim sebagai berkata ada syarikat milik kerajaan enggan melunaskan zakat perniagaan atas alasan mereka menyumbang terus kepada kerajaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Said berkata buat masa ini beliau belum menerima sebarang maklumat mengenai perkara tersebut.

Kelmarin, Maidam mendedahkan ada segelintir syarikat milik kerajaan yang enggan membayar zakat.

Yang Dipertua Maidam, Datuk Mazlan Hashim berkata alasan syarikat-syarikat terbabit ialah kerana mereka menyumbang terus kepada kerajaan.

 "Kebelakangan ini saya telah didatangi pengurus beberapa syarikat yang dimilki oleh kerajaan menyatakan mereka tidak mahu membayar zakat dengan memberi alasan mereka telah memberi sumbangan kepada kerajaan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak RM269,249,79 di Kuala Terengganu.

Mazlan berkata pihaknya akan merujuk perkara itu kepada Majlis Fatwa negeri untuk mengkaji secara mendalam berhubung perkara tersebut.

Begitupun, beliau berkata MAIDAM cuba memberi penjelasan dan penerangan dengan harapan syarikat-syarikat tersebut akan mengeluarkan zakat mengikut lunas-lunas yang ditetapkan agama.

No comments:

Post a Comment