Tuesday, May 22, 2012
Piala AFC - Butler Dengan Ramuannya Tewaskan Kelantan di Kota Bharu, Malam Esok
Apa ramuan Peter Butler untuk tewaskan Kelantan malam esok?
Memangkah banyak rahsia dalam poket Butler mengenai kekuatan dan kelemahan Kelantan kerana beliau adalah bekas jurulatih pasukan itu.
Satu kelebihan Terengganu ialah pemainnya tidak mengalami keletihan kerana mampu berehat beberapa haripada ketika Kelantan berdepan Sime Darby pada perlawanan akhir Piala FA Sabtu lalu.
Namun pemain The Red Warriors yang bersemangat walaupun masih keletihan selepas kejayaan menjulang Piala FA pastinya tidak mahu peluang berkasi lebih jauh pada saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berlalu begitu sahaja.
Ketua Jurulatih Bojan Hodak perlu berdepan tugas berat memotivasikan semula anak buahnya secepat mungkin menjelang pertemuan dengan Terengganu di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam esok.
Dalam kegembiraan meraikan kejayaan bersejarah itu, Hodak melupakan seketika detik gembira itu dan memandang ke hadapan untuk mempersiapkan anak buahnya berdepan Terengganu dan mara ke suku akhir saingan AFC.
Jurulatih berpengalaman dari Croatia itu berkata, moral anak buahnya perlu dibentuk semula selepas bekerja keras menewaskan Sime Darby FC, malah dalam tempoh singkat, dia perlu memberi motivasi tambahan supaya pemain kembali fokus.
“Sasaran kami dalam Piala FA sudah tercapai dan saya bertanggungjawab untuk membuat persediaan mencapai sasaran seterusnya kerana ketika ini, minda pemain kosong dan saya terpaksa memotivasikan mereka semula dalam masa terdekat,” katanya di Kota Bharu, semalam.
Selepas mengambil alih tugas Peter Butler dua bulan lalu, Hodak kini berada dalam kelas tersendiri apabila membantu The Red Warriors menjulang Piala FA yang dinantikan sejak 22 tahun, malah sasaran terbarunya ialah membawa Kelantan melangkah jauh dalam saingan Piala AFC.
“Jadual perlawanan agak padat selepas ini dan saya perlu membuat persediaan rapi termasuk tumpuan terhadap mempertahankan kejuaraan Liga Super.”
Bagi Terengganu, ia juga mahu mara ke peringkat seterusnya untuk menjulang bendera Terengganu dan negara selepas kecewa dalam saingan Piala FA dan agak ketinggalan dalam kedudukan saingan Liga Super ketika ini.
Bagi Butler pula, peluang menggantikan Mat Zan Mat Aris adalah sebaik-baiknya untuk beliau buktikan ramuannya menjadi dan meletakkan dirinya sebagai jurulatih yang wajar disegani di peringkat Asia.
No comments:
Post a Comment