Monday, May 28, 2012

Selangor Mahu Dapatkan Bekalan Air Dari tasik Kenyir

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam  bertegas mempertahankan pendirian kerajaan negeri bahawa bekalan air mentah adalah lebih penting daripada bekalan air terawat sebagai persiapan Selangor menghadapi masalah kekurangan air pada masa hadapan.

Abdul Khalid turut mencadangkan agar air mentah yang disalurkan di Selangor diambil dari Tasik Kenyir di Terengganu yang mempunyai kedalaman melebihi 100 meter dan mempunyai kapasiti menyimpan air terbanyak di seluruh Semenanjung.

Katanya penyaluran air mentah dari Tasik Kenyir adalah lebih rendah kosnya daripada menyalurkan air dari Sungai Pahang yang memerlukan pemasangan paip melalui Banjaran Titiwangsa dengan kos dianggarkan mencecah RM5 bilion.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penyerahan Surat Lanjutan Pajakan Tanah untuk 183 penduduk Shah Alam dan Surat Hak Milik Tanah untuk 27 peneroka tanah dari Bukit Cherakah, Shah Alam, semalam.

Abdul Khalid berkata kos memasang paip daripada Tasik Kenyir dianggarkan sekitar RM700 juta dengan memasang paip air bersebelahan dengan rangkaian paip saluran gas dari Terengganu ke Selangor, Pahang dan Johor yang sedia ada.

No comments:

Post a Comment