Tuesday, May 22, 2012

Skuad Terengganu Jelajah Lima Negeri Hadapi Sukma 2012

Empat belas pelumba basikal lebuh raya Terengganu akan menjelajah lima negeri bermula esok sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2012 di Kuantan, Pahang dari 7 hingga 16 Julai ini.

Ketua jurulatih Terengganu, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata program latihan selama dua minggu itu, yang melibatkan lapan pelumba lelaki dan selebihnya wanita adalah bagi meningkatkan prestasi m ereka menjelang temasya dwitahunan itu.


Beliau berkata jelajah itu akan bermula dari Kuala Terengganu melibatkan laluan Rantau Panjang-Grik-Ipoh-Kuala Lumpur-Temerloh-Kuantan-Kemaman dan kembali semula ke Kuala Terengganu, sejauh lebih 1,600 kilometer. "Kita dijangka singgah selama dua hari di Temerloh bagi menguji dan membiasakan laluan trek kejohanan Sukma sebelum meneruskan kayuhan ke Kuantan," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

 Jelajah tersebut merupakan fasa ketiga dan terakhir latihan kepada pelumba Terengganu sebelum Sukma 2012. Syed Mohd Hussaini berkata Terengganu membuat persediaan rapi kali ini kerana pada Sukma lepas, pasukan itu gagal memenangi pingat emas dan sekadar meraih perak dan gangsa dalam acara berbasikal lebuh raya.

"Kalau tiada masalah basikal dan teknikal, kita jangka dapat menguasai acara berbasikal lebuh raya pada Sukma kali ini walaupun akan diberikan tentangan daripada pasukan lain," katanya.

Beliau berkata prestasi pelumba Terengganu telah menunjukkan peningkatan selepas didedahkan dalam beberapa kejohanan bertaraf antarabangsa seperti Jelajah 1Malaysia dan Jelajah Bandung, Indonesia pada awal tahun ini.

Katanya pada Jelajah 1Malaysia, pasukan Sukma Terengganu menduduki tempat ke-11 keseluruhan dan tempat pertama dalam kalangan pasukan Malaysia.

"Dalam kalangan pasukan Asia, kita menduduki tempat keenam dan ia satu pencapaian yang membanggakan," katanya

No comments:

Post a Comment