Friday, May 25, 2012

Terengganu Teliti Permohonan Sembilan Syarikat Bina Kilang Besi Waja

Kerajaan negeri Terengganu sedang meneliti cadangan sembilan syarikat yang berminat melabur membuka kilang besi waja di negeri itu yang mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada anak negeri itu kelak.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata syarikat-syarikat itu ialah dari China, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan syarikat dari negara ini sendiri.

“Kita sekarang dalam proses memilih syarikat yang paling layak. Kita pilih mereka yang ingin melabur dengan jumlah yang besar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Hemodialisis Yayasan Buah Pinggang Kemaman di Kemaman, semalam.


Ahmad Said berkata, kerajaan negeri sebelum ini telah membuat tawaran mana-mana syarikat yang mahu dapatkan bijih besi yang terbaik dari Terengganu perlu membuka kilangnya di sini.

Setakat ini, katanya syarikat besi waja Perwaja Steel Sdn Berhad yang sedang beroperasi di sini, telah membuat tambahan pelaburan RM300 juta lagi dengan memperbesarkan kilangnya yang mampu menyediakan peluang pekerjaan sehingga 1,000 orang lagi. Syarikat Eastern Steel dari China yang sedang membina kilang di Kemaman melabur sehingga RM3.8 bilion yang mana sekiranya siap sepenuhnya mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada 2,000 anak negeri itu.

“Kita telah menetapkan syarat bahawa mana-mana kilang yang akan beroperasi di Terengganu, hendaklah mengambil 60 peratus pekerja dari anak negeri Terengganu,” katanya.

Katanya bijih besi yang ada di Bukit Besi, Dungun masih tidak cukup untuk menampung keperluan kilang yang akan diwujudkan nanti.

“Namun, itu tidak menjadi masalah kerana Terengganu terletak di tengah-tengah antara negeri Pahang dan Kelantan.

Mereka boleh dapatkan bijih di Pahang dan Kelantan dengan dicampur bijih terbaik yang terdapat di Bukit Besi (Terengganu) untuk pengeluaran kilang mereka."

 “Saya yakin, apabila beberapa syarikat besi waja itu beroperasi kelak, peluang pekerjaan bagi anak negeri itu akan bertambah,” katanya.

No comments:

Post a Comment