Sunday, May 20, 2012
UMT Lancar Buku 'Ahmad Said Dari Rakyat Untuk Rakyat'
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melangkah setapak lagi dalam penerbitan buku apabila karya terbaru ‘Ahmad Said Dari Rakyat Untuk Rakyat’ dilancarkan malam tadi.
Buku tulisan bekas Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Aziz Deraman dan Dekan Fakulti Pembangunan Sosial, Prof. Madya Dr. Noraien Mansor memaparkan perjalanan hidup Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Rujukan ilmiah setebal 198 muka surat itu menceritakan sisi berbeza Dato’ Seri Ahmad yang merupakan anak kampung yang tegar dengan kepayahan hidup di masa kecil hingga berjaya mencapai menara gading.
Pendokumentasian itu merangkumi lapan bab termasuklah mengenali Ahmad Said, alam pendidikan, tapak kerjaya, pentas politik dan Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu.
Pelancaran buku itu disempurnakan Pro-Canselor UMT, Tan Sri Samsudin Osman sambil disaksikan Ahmad Said di Palm Garden Hotel, IOI Resort Putrajaya, malam tadi. Turut hadir, Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Komoo.
Dr. Ibrahim dalam ucapannya menyeru warga universiti itu lebih giat dalam menghasilkan karya-karya ilmiah dan bukan ilmiah di samping melibatkan diri dalam penerbitan kritis dan mencabar.
“UMT di bawah naungan dan kerjasama Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (Mapim) akan terus berusaha menyahut seruan badan itu untuk meningkatkan kadar penerbitan 10 peratus setahun.
“Ia selaras dengan hasrat negara mensasarkan bilangan penerbitan buku sekurang-kurangnya 0.1 peratus daripada jumlah penduduk,” kata beliau.
Tambahnya, buku itu bukan sahaja berjaya menterjemah latar belakang dan penitian kehidupan peribadi Menteri Besar, malah ia begitu unik dengan untaian pantun yang dicipta khas oleh kedua-dua pengarang itu.
“Tajuk buku itu sendiri sudah cukup untuk menterjemahkan kehidupan Ahmad Said yang begitu dekat dengan rakyat,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment