Thursday, June 21, 2012

Hariff Tidak Puas Hati Alasan MNCF Tidak Pilihnya Ke Olimpik


Kegagalan terpilih beraksi dalam Sukan Olimpik, bulan depan jelas sesuatu yang sukar diterima pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Salleh.

Apa lagi, dengan alasan jawatankuasa pemilihan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) yang memberitahu laluan panjang dan berbukit menjadi faktor utama pemilihan walaupun dia sudah membuktikan keupayaan dengan menduduki ranking kelima Asia dan mencatat keputusan membanggakan dalam siri jelajah tahun ini.

“Tidak terkata kekecewaan yang saya alami kerana ramai yang menjangka saya terpilih. Sejak dulu saya menjadi antara penyumbang utama mata kelayakan bagi membolehkan negara mendapat dua tempat ke Olimpik dan tahun ini mencipta pelbagai kejayaan tetapi masih tidak dipilih.

"Jika laluan berbukit yang menjadi soal, saya baru saja menamatkan perlumbaan Jelajah Singkarak yang dikenali dengan cabaran berbukit dan turut menduduki tempat kedua pada peringkat ketujuh.

“Lagipun, pendakian di Indonesia itu lebih sukar sehingga ada peringkat yang memerlukan pendakian sejauh 30 kilometer berbanding hanya 5 km di London nanti,” kata pakar pecut itu ketika dihubungi.

Pelumba yang dikenali dengan panggilan Mamat itu masih percaya perlumbaan di London sejauh 250 km nanti akan berakhir dalam kelompok besar dan dia agak kesal kerana tidak dapat menggunakan kepakaran pecutan untuk membantu mengharumkan nama negara.

Jika ranking semasa Kesatuan Lumba Basikal Antarabangsa (UCI) dalam kategori pelumba Asia diambil kira, Harrif yang menduduki ranking kelima Asia berhak mempersoalkan pemilihan itu kerana Amir Mustapa Rusli yang terpilih tidak banyak mencipta keputusan apabila hanya menduduki ranking ke-49 Asia sementara seorang lagi wakil Olimpik negara, Adiq Hussainie Othman selayaknya mendapat tempat kerana berada di ranking ketiga Asia.

“Saya tidak berdendam dengan sesiapa termasuklah pelumba yang dipilih atau pun MNCF tetapi saya hanya meluahkan rasa kekecewaan.

Saya meneruskan latihan seperti biasa bersama jurulatih (Sebastien Duclos) dan kini mengharapkan kejayaan besar pada Jelajah China (7-12 September) yang berstatus 2.1 dengan harapan ada pasukan berminat dengan saya nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment