Saturday, June 2, 2012

Isteri Peneroka Terima RM5,000 Pada 7 Julai


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin mengumumkan pemberian 'durian runtuh' pusingan kedua sebanyak RM5,000 kepada isteri peneroka Felda yang akan diagihkan pada 7 Julai ini.

Tarikh pengagihan itu dipilih sempena sambutan Hari Peneroka dan majlis perasmian Menara Felda di Jalan Stonor di Kuala Lumpur.

 "Untuk round (pusingan) pertama, ketua keluarga telah terima RM5,000, hari ini (kelmarin) saya ingin umumkan isteri peneroka atau isteri-isteri peneroka pula akan dapat RM5,000 pada 7 Julai ini," katanya.

Beliau berucap melancarkan prospektus tawaran awam permulaan (IPO) Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) di Dewan Perdana Felda di Kuala Lumpur. Mengenai Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan pula berkata ia bukan sahaja membawa keuntungan kepada masyarakat Felda tetapi rakyat Malaysia turut menikmatinya.

Beliau berkata ini berikutan saham-saham FGVH juga akan dimiliki Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mempunyai 13 juta pencarum, Lembaga Tabung Haji, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

"Selama ini kemakmuran Felda itu hanya dimiliki oleh Felda, peneroka dan pekerja tapi sekarang berkongsi dengan rakyat yang ramai. Ini satu perkara yang unik dan menarik," katanya selepas majlis pelancaran prospektus FGVH oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu.

Ahmad berkata hasutan pembangkang terhadap penyenaraian FGVH akan menemui kegagalan kerana penyenaraian itu bukan sahaja memberi manfaat kepada peneroka dan warga Felda malah memberi kebaikan kepada negara secara keseluruhan.

Beliau berkata pembangkang mungkin mendapat sokongan peneroka 'hard core' dalam Felda namun dari segi keseluruhan, 90 peratus kekal menyokong Barisan Nasional (BN) dan peratusannya mungkin meningkat setelah melihat Perdana Menteri menepati janji.

No comments:

Post a Comment