Saturday, June 2, 2012

Kontrak Kebersihan - Kerajaan Negeri Peruntukkan RM40 Juta Setahun

Menteri Besar bersama penduduk Kampung Tekukur
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said masih tidak berpuas hati dengan tahap kebersihan di negeri ini walaupun pelbagai usaha dan cara telah dilakukan.

Menurutnya, setiap tahun kerajaan memperuntukkan hampir RM40 juta bagi kontrak kebersihan bermula dari sempadan Pahang hingga ke sempadan Kelantan bagi memastikan keadaan kebersihan terkawal.

Ahmad Said dan Mazlan  bersama penduduk Kampung Gong Lingai


Kata beliau, antaranya termasuk menjalankan aktiviti memotong rumput, bersih kawasan dan paling menjadi tumpuan adalah kebersihan longkang.

 “Tabiat buruk orang kita adalah gemar mencampak sampah seperti kertas, plastik dan puntung rokok di bahu jalan dan kawasan lampu isyarat.

Budaya ini perlu diubah. “Waktu pagi keadaan bersih, pada petang masih ada kekotoran kerana sikap pengguna jalan raya itu sendiri yang tidak menjaga kebersihan,” katanya.

Ahmad Said berkata, kebersihan perlu dijaga secara berterusan dan mereka yang bertanggungjawab sebagai penyelia serta pengawas perlu memikul amanah yang diberikan.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas hadir pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan dan Keceriaan Kampung Peringkat Negeri Terengganu bagi 2011/2012 bertempat di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1, semalam.

Pada majlis tersebut, Kampung Gong Lingai, Kuala Terengganu dinobatkan juara bagi kategori Luar kawasan Operasi Pihak Berkuasa tempatan (PBT) dengan membawa pulang, hadiah tunai RM25,000 dan projek bernilai RM250,000.

Manakala juara bagi kategori kampung di kawasan operasi dimenangi Jalan Terkukur juga membawa pulang tunai RM25,000 dan projek bernilai RM250,000.

Pengerusi JKKK Jalan Tekukur, Puan Arpah Othman berkata kemenangan kampungnya ialah dengan menjadikan Kampung Bukit Wan, Batu Rakit yang memenangi pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung Peringkat Negeri 2010/2011 sebagai contoh.

Kemenangan kampung yang memiliki kepadatan 2,750 penduduk dan berbilang kaum diketuai berjaya membawa pulang wang tunai RM25,000 beserta RM250,000 sebagai dana bagi menjalankan projek pembangunan kampung.

Selain menggondol hadiah utama, JKKK Jalan Tekukur turut meraih hadiah terkumpul RM4,000 masing-masing bagi kategori Kebersihan Persekitaran Dalam Kawasan kampung, Keceriaan Landskap, Kawalan Vektor dan Kepimpinan.

Menurut Puan Arpah, sifat muafakat dan kerjasama semua AJK JKKK dan penduduk dengan bantuan penghulu sejak September tahun lalu bagi memastikan kampung mereka boleh memenangi pertandingan yang julung kali disertai itu membuahkan hasil apabila diumumkan johan pertandingan.

Katanya, ramai wanita kampung berkenaan terlibat dengan Industri Kecil Sederhana termasuk mengusahakan makanan seperti sate, karipap, popia, selain mengusaha kedai kek popular di bandar ini, Ziq Bakery & Cake.

Hadir sama, Pengerusi Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung, Datuk Mazlan Ngah yang juga merangkap Setiausaha Kerajaan Negeri.

No comments:

Post a Comment