Hasrat seorang peniaga kuih membuang minyak panas ke dalam longkang di luar rumahnya membawa padah apabila dia tergelincir sebelum minyak berkenaan tercurah pada badannya dalam kejadian di Kampung Alur Tembesu, Dungun, kelmarin.
Sebelum kejadian, Abdul Wahab Shahul Hamid, 63, yang baru selesai menggoreng kuih kayu keramat dikatakan terlupa mematikan api dapur gas sebelum minyak panas di dalam kuali disambar api berkenaan, kira-kira jam 5.30 pagi.
Mangsa yang terkejut melihat api marak di dalam kuali cuba menggunakan gayung aluminium untuk membuang minyak panas kerana berfikir langkah itu mampu memadamkan api.
Namun, tindakannya bukan saja tidak berhasil, malah badannya tercurah minyak panas selepas tergelincir ketika melalui lantai licin yang dipenuhi sisa minyak berkenaan.
Bapa kepada lima anak itu yang ditemui di Wad Kebakaran Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam, berkata dia melecur 40 peratus pada badan, tangan dan kaki akibat tercurah minyak panas berkenaan.
Menurutnya, ketika kejadian, dia panik bagi memadamkan api yang marak di dalam kuali berisi minyak panas itu.
No comments:
Post a Comment