Sunday, June 24, 2012

Polis Terengganu Anjur Program Pencegahan Di Kalangan Remaja


Pasukan Kor Kadet Polis daerah Kemaman muncul sebagai johan keseluruhan Perkhemahan Kor Kadet Polis Terengganu di Kem Seri Keluang.
Walaupun masalah remaja khususnya pelajar di negeri ini tidak serius terbabit dalam gejala sosial tetapi polis sentiasa melaksanakan pelbagai program pencegahan.

Ketua Polis Negeri, Datuk Jamshah Mustapa berkata, polis tidak memandang ringan masalah membabitkan pelajar walaupun pembabitan mereka dalam jenayah mahupun penyalahgunaan dadah tidak membimbangkan.

Menurutnya, polis sentiasa mengambil langkah mengadakan program pencegahan kerana ia lebih berkesan daripada menangani golongan itu.


“Program Kadet Polis umpamanya mampu membentuk pelajar miliki sahsiah tinggi dan contoh kepada pelajar lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Negeri Terengganu di Kem Seri Keluang di sini dekat Kampung Raja.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria dan Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah, Ab Halim Hassan.

Dalam perkhemahan itu, juara keseluruhan dimenangi Kor Kadet Polis Daerah Kemaman diikuti Besut kedua dan Marang tempat ketiga.

Jamshah berkata, Kadet Polis mempunyai kelebihan kerana mereka mempunyai maklumat yang lebih dalam bidang kepolisan dan mereka dapat membantu guru dalam menyalurkan maklumat kepada rakan sebaya.

“Bilangan guru amat sedikit berbanding pelajar maka sudah tentu guru tidak dapat memberi perhatian kepada semua pelajarnya jadi kadet polis boleh bertindak sebagai ketua penyalur maklumat,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu Polis Terengganu sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada bila-bila masa.

Menurutnya, Polis Kontinjen Terengganu menghantar pegawai dan anggota menjalani latihan serta kursus pilihan raya sejak tahun lalu dan kursus tersebut berterusan sehingga Julai depan.

 “Berdasarkan pengalaman lalu, polis akan menempatkan lebih ramai anggota di kawasan tertentu yang dikenal pasti bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

No comments:

Post a Comment