Tuesday, June 19, 2012

Prestasi Pengusaha Inap Desa Terengganu Dinilai Semula


Prestasi dan kesungguhan pengusaha program inap desa di Terengganu akan dinilai semula berikutan terdapat beberapa kes terpencil membabitkan pengusaha yang enggan menerima pelancong ke rumah mereka.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Terengganu Mohd Sabri Zakaria berkata pihaknya menerima aduan yang mendakwa terdapat segelintir pengusaha program itu tidak lagi mahu terlibat dengan serius dalam program inap desa.



"Ada pengusaha inap desa ini yang sudah meninggal dunia dan waris tidak berminat untuk menyertai program ini sehingga tidak membenarkan pelancong menginap di rumah mereka, sedangkan itu adalah antara sumber pendapatan mereka.

"Sehubungan itu, saya sudah mengarahkan kakitangan untuk membuat penelitian terperinci bagi memastikan hanya pengusaha yang memberi komitmen tinggi dikekal dalam program inap desa ini," katanya selepas melawat Kampung Pasir Raja di Dungun, kelmarin.

Sehingga kini, terdapat 26 pengusaha program inap desa di Kampung Pasir Raja, namun mereka tidak lagi menerima kedatangan pelancong sejak pertengahan tahun lepas.

Terengganu mempunyai enam perkampungan inap desa dengan 103 pengusaha iaitu Teluk Ketapang dan Pulau Duyung di Kuala Terengganu, Kampung Pasir Raja (Dungun), Kampung Rhu Sepuluh (Setiu), Felda Selasih (Besut) dan Kampung Buluh (Hulu Terengganu).

Selain itu, Mohd Sabri berkata pihaknya akan menganjurkan kursus kepada pengusaha inap desa di Terengganu dalam masa terdekat bagi menaikkan motivasi dan mendedahkan kepada mereka mengenai potensi menjana pendapatan melalui program pelancongan itu.

"Pengusaha di Teluk Ketapang adalah antara yang paling berjaya dan aktif setakat ini.

Mungkin mereka boleh berkongsi kisah kejayaan program di Teluk Ketapang itu supaya memberi inspirasi dan harapan baru kepada pengusaha di kampung lain, terutama di Pasir Raja ini.

"Kami akan memberi tumpuan yang sewajarnya dalam membangunkan program inap desa ini, namun usaha kreatif komuniti kampung untuk 'menjual' kampung mereka bagi program pelancongan turut diperlukan supaya hasrat kerajaan untuk memberi pendapatan sampingan kepada orang kampung menjadi kenyataan," katanya.

No comments:

Post a Comment