Sunday, June 3, 2012

Rakyat Perlu Bersatu Padu Ke arah Kebaikan, Elak Bermusuh Sesama Sendiri

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah mengingatkan rakyat supaya bersatu padu ke arah kebaikan dan tidak mencari jalan untuk bermusuhan sesama sendiri yang pada akhirnya mendatangkan musibah kepada semua.

"Apakah yang akan kita tinggalkan kepada darah daging kita, anak cucu kita, selaku generasi akan datang. Adakah sebuah negara yang punah atau watan yang makmur sejahtera. Pada hemat beta, semua pilihan ini terletak dalam tangan setiap rakyat Malaysia.


"Sekalipun atas nama politik atau apa-apa organisasi janganlah sehingga sanggup meletakkan ia melebihi kepentingan negara, hatta mengkucar-kacirkan keharmonian. Ini ternyata suatu perkembangan yang tidak sihat dan sewajibnya dielakkan," titah baginda. Seri Paduka bertitah demikian pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran Persekutuan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di Kuala Lumpur, semalam.

Turut berangkat pada istiadat itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hamimah Hamidun. Istiadat itu buat julung-julung kalinya diadakan di Istana Negara baharu, di Jalan Duta di Kuala Lumpur.

 Sementara itu, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Arifin Zakaria mengetuai 1,523 penerima Darjah Kebesaran Persekutuan Tahun 2012 sempena istiadat tersebut. Arifin adalah penerima tunggal Darjah Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM) yang membawa gelaran 'Tun'.

No comments:

Post a Comment