Pelumba muda, Muhamad Adiq Husainie Othman cukup teruja untuk menggalas cabaran negara pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London Julai ini.
Menurut Adiq, latihan bersama dua lagi rakannya iaitu Amir Mustafa Rusli dan Mohd. Zamri Salleh di Belgium mulai minggu ini dianggap sebagai medan terbaik sebelum menghadapi temasya berprestij itu.
"Segala persiapan termasuk latihan berjalan dengan baik seperti yang dijadualkan, malah saya cukup bersedia menghadapi Sukan Olimpik di London.
"Dalam masa sebulan, saya akan terus meningkatkan prestasi saya dengan menyertai beberapa perlumbaan di Belgium," kata Adiq baru-baru ini.
Jumaat lalu, Adiq mendapat suntikan semangat apabila berkesempatan menemui Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2012, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.
Dalam pertemuan itu, Ahmad Sarji memberi kata-kata semangat kepada Adiq yang bakal membuat penampilan sulung pada temasya Olimpik.
Mengulas saingan di London nanti, Adiq mengakui, dia bakal menghadapi ujian getir apabila terpaksa mengharungi laluan sepanjang 250 kilometer (km).
"Ia akan menjadi laluan terpanjang yang akan saya lalui. Untuk itu, saya amat berharap kekuatan mental akan membantu saya," ujarnya.
Sebelum dijadualkan berlepas ke Belgium esok (har ini) ketika ini Adiq menjalani latihan ringan bersama skuad pelapis negara.
"Selepas menyertai beberapa pertandingan besar termasuk yang terakhir di Kanada, saya mahu mengurangkan sebanyak mungkin tekanan yang ada.
"Disebabkan itu, saya hanya menjalani latihan ringan di sini (Kuala Lumpur) sebelum berangkat ke Belgium dan seterusnya ke London," kata pelumba kelahiran Terengganu itu
Selepas beraksi di London, Adiq akan terus bersama pasukannya, Champion System ke Amerika Syarikat bagi menyertai Jelajah Utah dari 7 hingga 15 Ogos depan.
No comments:
Post a Comment