Wednesday, July 11, 2012

Azizulhasni Mahu Kekalkan Momentum Acara Keirin


Kurang tiga minggu lagi Sukan Olimpik 2012 London akan membuka tirai, namun pelumba trek negara, Azizulhasni Awang (gambar) semakin tidak sabar untuk mempamerkan aksi terbaiknya terutamanya dalam acara kegemaran, keirin.

Setakat ini prestasi pelumba kelahiran Dungun itu amat memuaskan terutama sekali selepas berakhirnya GP von Deutschland 2012 hujung minggu lalu yang turut disertai pelumba negara lain yang akan beraksi di London nanti.


Perlumbaan yang berlangsung selama dua hari itu menyaksikan Azizulhasni memperoleh tempat kedua pada hari pertama manakala pelumba trek wanita negara, Fatehah Mustapa berjaya menduduki tempat ketiga dan kedua-duanya dalam acara keirin.

“Kejohanan ini boleh dianggap sebagai kejohanan latihan di mana ramai pelumba handalan dalam acara trek cuba untuk mencari momentum sebelum beraksi di Olimpik," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia melalui laman sosial, Facebook kelmarin.

Selain Azizulhasni dan Fatehah turut mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut ialah Josiah Ng yang turut cemerlang pada hari kedua dalam perlumbaan keirin dan menduduki tempat kelima daripada 34 pelumba yang mengambil bahagian.

“Ini adalah satu perlumbaan dan latihan yang amat berkualiti dengan kehadiran ramai pelumba trek terbaik dunia seperti Maximilian Levy (Jerman), Kazunari Watanabe (Jepun) dan Matthew Crampton (Great Britain).

“Format perlumbaan di sini memang tidak sama dengan saingan Siri Piala Dunia Klasik, di mana jika kita tewas pun masih ada perlumbaan untuk disertai dan sekurang-kurangnya seorang pelumba beraksi sebanyak lapan kali dalam sehari," katanya.

No comments:

Post a Comment