Sunday, July 15, 2012

Bola Di Kaki Pengurusan Sang Penyu, T-Team…Tendanglah Asal Jangan Ke Gol Sendiri!

Juara Liga Super...Kelantan sebelum ini menang Piala FA, kini memburu Piala Malaysia
" Jika gagal juga pada saingan Piala Malaysia, jangan salahkan sesiapa termasuk Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan mengatakan kerajaan negeri tidak menyokong sukan bolasepak negeri ini...Kerajaan Negeri membiayai bukan satu pasukan tetapi dua pasukan dengan peluang dan dana yang sama rata."

Kemenangan Sang Penyu ke atas Sarawak semalam tidak mengubah kedudukan Terengganu dalam perlawanan terakhir Piala Liga Super 2012.

Terengganu kekal di tempat kelima di belakang Perak yang kekal di tempat keempat dengan 42 mata selepas menang ke atas Kuala Lumpur 5-2 di tempat lawan. Walaupun menewaskan Selangor 3-0 di Kuala Terengganu semalam, Sang Penyu mengumpul 41 mata dan berada di depan Negeri Sembilan yang kekal dengan 37 mata selepas kalah kepada Sabah 1-3 di Kota Kinabalu.

Sang Penyu yang popularitinya banyak juga di luar padang disebabkan isu jurulatih, khususnya keputusan tergesa-gesa Irfan Bakti meninggalkan Terengganu, pemecatan pengganti Irfan, Mat Zan Mat Aris serta tunjuk perasaan penyokong Terengganu dan desakan pemecatan Che Mat Jusoh sah sudah tidak mampu mengekalkan kedudukannya seperti tahun lalu pada Piala Liga Super yang berakhir semalam.

Sah sudah, janji pengurusan pasukan Terengganu untuk sekurang-kurangnya mendapat tempat ketiga sekurang-kurangnya, jauh daripada kesampaian. Dengan kata lain ‘janji tidak dapat dikotakan’ oleh pengurusan Persatuan Bolasepak Terengganu (PBST) dan pastinya ia perlu melihat kembali kegagalan itu sama ada pengurusan, pemain atau jurulatih yang wajar diperbetulkan.

Pada Mesyuarat Exco Kuala Lumpur tiga minggu lalu, Presiden PBNST yang juga Pengurus Skuad Penyu, Datuk Che Mat Jusoh dan Penolong Pengurus, Shekih Ahmad Tajuddin membuat janji di hadapan Menteri Besar dan anggota Exco untuk memperbaiki kedudukan sekurang-kurangnya berada di tempat ketiga liga.

Sementara pengurusan T-Team, termasuk jurulatih Yunus Alif yang turut memberi pengakuan memperbaiki keadaan pada mesyuarat Exco berkenaan, nampaknya juga tidak dapat ‘mengotakan janjinya’, malah kedudukan T-Team di tempat kelapan bukanlah sesuatu yang diharapkan.

Semalam T-Team kalah kepada PKNS 1-2 yang membolehkan PKNS melintas untuk kedudukan ketujuh walaupun mengutip mata yang sama iaitu 35 mata.

Secara terperinci, pada lima perlawanan terakhir, Sang Penyu menang 3 dan kalah 2 sementara bagi T-Team pula ia ia menang 2, kalah 2 dan 1 seri.

Pada kejohanan Piala Liga 2011, Terengganu berkedudukan di nombor dua dengan 52 mata iaitu menang 16, seri 5 dan kalah 5 sementara T-Team pula di kedudukan kesembilan dengan 9 menang, 4 seri dan 13 kekalahan mengutip 31 mata.

Ini bermakna berbanding tahun lalu, Terengganu turun tiga anak tangga sementara T-Team naik satu tangga. Sementara jiran Kelantan, Juara Piala Liga Super 2012 terus bergaya apabila menamatkan perlawanan pelengkap Piala Liga dengan kemenangan 3-1 ke atas Sarawak di Kota Bharu.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad bimbingan Bojan Hodak menutup saingan Liga Super musim ini dengan bergaya apabila mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya tahun lalu.

Skuad The Red Warriors berjaya mengumpul 60 mata, sekali gus meranapkan impian wakil Singapura, Lions XII untuk mencipta kejutan pada penampilan pertama dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Kemenangan tersebut cukup manis buat semua barisan pemain Kelantan apabila mereka menjulang trofi liga di hadapan 18,000 penyokong setia yang hadir memberikan sokongan pada perlawanan tersebut.

Pertanyaan kini ialah apakah Terengganu dan T-Team mampu menunjukkan permainan lebih baik untuk bersaing dalam Piala Malaysia nanti?

Peluang hanya ada pada Piala Malaysia tetapi Terengganu dan T-Team akan berdepan dengan laluan sukar kerana pemenang tradisi Piala Malaysia seperti Selangor, Perak serta Negeri Sembilan juga memburu piala berkenaan.

Sementara Kelantan yang mempertahankan piala berkenaan juga akan berusaha untuk menang bagi melengkapkan triplenya iaitu Piala FA, Piala Liga Super dan mengekalkan Piala Malaysia.

Malah, jika LionXII turut bertanding dalam Piala Malaysia, Terengganu dan T-Team perlu melipatgandakan usaha. Mungkin yang dapat membantu Terengganu dan T-Team ialah usaha yang gigih dan undi yang akan menentukan pertemuan mereka sama ada dengan pasukan pilihan atau sebaliknya.

Yang terbaik ialah Terengganu dan T-Team terus memulakan langkah persiapan seperti yang dilakukan Selangor iaitu Juara 32 kali Piala Malaysia apabila berjaya mengikat Rozaimi Abdul Rahman, pemain muda Sabah itu yang muncul penjaring terbanyak dengan 10 gol pada pusingan kelayakan Piala Asia Bawah 22 tahun di Myanmar baru-baru ini untuk kempen Piala Malaysia 2012.

Malah, Terengganu dan T-team juga perlu mengambil kira 'kedatangan' pasukan Liga Perdana iaitu Angkatan Tentera Malaysia yang mungkin bermain dalam kancah Piala Malaysia selepas pasukan itu menjadi juara. Pasukan itu bukan calang-calang!


Kita menunggu apa tindakan seterusnya oleh pengurusan Terengganu dan T-Team bagi persiapan Piala Malaysia ini.

Jika gagal juga pada saingan Piala Malaysia, jangan salahkan sesiapa termasuk Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan mengatakan kerajaan negeri tidak menyokong sukan bolasepak negeri ini.

Kerajaan Negeri membiayai bukan satu pasukan tetapi dua pasukan dengan peluang dan dana yang sama rata. ‘Bola ada di kaki pengurusan’ pasukan Terengganu dan T-Team. Bergantunglah kepada mereka untuk menandangnya ke gol lawan asalkan jangan sumbat gol sendiri!

No comments:

Post a Comment