Tuesday, July 10, 2012

Bolasepak Suku Akhir SUKMA - KL Mahu Balas Dendam Terhadap Terengganu


"Pasukan  yang beraksi lebih baik akan menang."

Demikian tegas jurulatih Wilayah Persekutuan, Razip Ismail (gambar) menjelang pertemuan menentang juara bertahan, Terengganu pada aksi suku akhir acara bola sepak di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) hari ini.

Menyifatkan peluang kedua- dua pasukan adalah 50-50, Razip tidak mahu pasukannya beraksi di bawah tekanan berdasarkan reputasi Sang Penyu yang turun selaku juara bertahan.


Menurut Razip, ini peluang terbaik buat anak-anak buahnya membalas dendam ekoran dikecewakan lawan yang sama pada peringkat separuh akhir temasya yang sama dua tahun lepas di Melaka.

"Saya menghormati kekuatan Terengganu, kali ini kami bertemu mereka lebih awal iaitu pada peringkat suku akhir.

"Bagi saya, peluang kedua-dua pasukan dilihat seimbang, siapa yang beraksi lebih baik akan menang," katanya.

Razip memberitahu, buat masa ini moral pemainnya berada pada tahap terbaiklebih-ebih lagi selepas muncul juara Kumpulan D selain memegang reputasi antara pasukan yang belum tewas sepanjang temasya kali ini.

Selain itu, kecederaan penyerang utama, Puvana Rajah juga tidak membimbangkan Razip apabila peledak berbisa itu dijangka kembali pulih hari ini.

"Cuma saya harap agar pemain saya lebih berwaspada dengan kemampuan pemain Terengganu, terutamanya kapten mereka, Muhammad Fakhrurazi Musa dan juga penyerang, Fahmi Izzudin Mohd. Zaki," katanya.

Lain-lain aksi suku akhir hari ini membabitkan pertemuan tuan rumah, Pahang yang bakal berdepan pasukan Negeri Sembilan, Perak menentang Perlis, manakala Selangor melayan cabaran Sabah yang dijangka diperkuatkan dengan peledak berbisa Harimau Muda, Mohd. Rozaimi Abdul Rahman.

No comments:

Post a Comment