Monday, July 2, 2012

Dr A Rahman - Jangan Beli Kosmetik Tiruan

Dr A Rahman (tengah) melawat booth yang menjual produk 1Malaysia di Ekspo Beli Barangan Malaysia (EBBM) Zon Timur di TTC, kelmarin. Turut mengiringi, Ghazali (dua kiri).
Golongan wanita di negeri ini dinasihatkan tidak membeli atau menggunakan produk kosmetik dan kesihatan tiruan kerana dikhuatiri mengandungi kandungan yang tidak menepati piawaian ditetapkan, sehingga mendatangkan kesan sampingan kepada kesihatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar berkata, produk tiruan biasanya dijual dengan harga lebih murah tetapi kandungan yang terdapat dalam produk tersebut pastinya berbeza dengan produk asal.

Menurutnya, sebahagian besar produk ini tidak menampakkan kesan sampingan pada awal penggunaannya, tetapi memberi kesan jangka panjang dan menyebabkan kulit wajah menjadi nipis serta kehitaman.

“Membeli kosmetik tiruan bukan sahaja merugikan duit tetapi juga kesihatan. Ia bukan sahaja boleh merosakkan wajah seseorang tetapi juga menyebabkan penyakit jika bahan yang terkandung di dalam produk tersebut melebihi kandungan dibenarkan.

“Ia juga memberi kesan sampingan dan menyebabkan kanser kulit, kanser darah dan pelbagai penyakit, serta ada yang boleh membawa maut. Menjaga kecantikan dan penampilan perlu, tetapi (perlu) sentiasa berhati-hati dan berwaspada,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir merasmikan Ekspo Beli Barangan Malaysia (EBBM) Zon Timur anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) kelmarin.

 Hadir sama, Pengarah Pejabat KPDNKK negeri, Ghazali @ Suhaimi Muhammad.

Mengulas lanjut, Dr A Rahman berkata, pihaknya menerima aduan daripada pengguna mengenai masalah kulit wajah mereka setelah menggunakan beberapa produk di pasaran dan ada yang mendapatkan rawatan di hospital.

Menurutnya, ubat tiruan cepat memberi tindak balas kepada kulit wajah, tetapi jumlah kandungan bahan yang digunakan sangat tinggi dan melebihi had, memberi kesan kepada pengguna.

Katanya, jika ingin membeli produk kecantikan, perlu melalui wakil penjual yang sah dan telah dibuktikan ketulenannya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment