Thursday, July 26, 2012

Ibu, Anak Gajah Takutkan Penduduk Ditangkap

Dua ekor gajah yang sebelum ini menakutkan pekebun dan penoreh getah di beberapa buah kampung di kawasan Hulu Besut, berjaya ditangkap anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu.

Pengarah jabatan berkenaan, Yusof Shariff berkata, gajah dua beranak terdiri daripada ibu yang berumur 20 tahun dan anaknya, gajah jantan berumur lapan tahun, akan dipindahkan ke kawasan Sungai Ketiar, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu beberapa hari lagi.

Beliau berkata, pihaknya sedang menunggu ketibaan gajah denak dari Pusat Konservesi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lancang, Pahang untuk memindahkan dua ekor gajah yang ditangkap petang Isnin lalu itu.

Katanya, gajah itu ditangkap oleh anggota Unit Gajah Perhilitan Terengganu yang membuat pemantauan selama beberapa hari susulan aduan orang ramai termasuk kejadian seorang lelaki hampir diserang gajah minggu lepas ketika sedang mengutip durian di kebunnya di Lata Tembakah.

Yusoff berkata, kedua-dua gajah itu ditangkap antara pukul 2.15 dan 2.45 petang di kawasan Sungai Tenang dekat Lata Tembakah dengan menggunakan tembakan ubat pelali.

No comments:

Post a Comment