Majlis Daerah Marang (MDM) mengeluarkan tender dan sebut harga bagi cadangan membina pengadang di Medan Selera Marang Waterfront di Jalan Bukit Batu Merah yang terletak berhampiran laut, di Marang.
Tender membina kemudahan tersebut dikeluarkan selepas pihak berkuasa tempatan (PBT) menerima aduan orang ramai yang mendakwa keperluan itu perlu disediakan agar keselamatan anak kecil yang berada di situ lebih terjamin.
Terdahulu, aduan orang ramai disiarkan Sinar Harian pada 21 Jun lalu, mendakwa keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila hujan kerana lantai di medan selera itu menjadi licin sekali gus mampu menyebabkan anak kecil terjatuh ke laut.
Pelanggan medan selera, Mohamad Mat Isa, 42, yang dipetik berkata, kedai makan di situ menjadi tumpuan ramai dan faktor keselamatan orang ramai sewajarnya diutamakan.
“Saya bersetuju jika PBT membina pengadang atau pagar separas pinggang atau menyediakan pagar besi dan ciri keselamatan lain yang dilihat sesuai untuk diadakan bagi mencegah anak kecil terjatuh ke bawah benteng,” katanya.
“Sebagai pelanggan, sudah pasti mereka berharap pemasangan pagar dapat dilakukan segera kerana bimbang kemungkinan berlaku kejadian buruk seumpama itu ketika keluarga mereka sedang menjamu selera di situ,” tambah rakannya, Mohamad Muda.
Sementara itu, Setiausaha MDM, Lizan Che Mat melalui jurucakapnya berkata, pengadang setinggi satu meter akan dibina dari Medan Selera Marang Waterfront ke Taman Waterfront sepanjang lebih 100 meter dan ia dijangka akan bermula tahun ini.
No comments:
Post a Comment