Monday, July 2, 2012

Ketengah Jamin Semua Taman Di Tasik Kenyir Siap Akhir Tahun

Menteri Besar melawat Pulau Orkid Februari lalu
Semua projek pembangunan melibatkan 10 buah pulau di kawasan Tasik Kenyir di sini berjalan lancar dan dijangka siap sepenuhnya akhir tahun ini.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Wan Mat Amin Wan Daud berkata, antara taman yang telah siap iaitu taman burung, taman herba dan taman tropika yang dibangunkan dengan kerjasama Mardi.

"Lain-lain taman iaitu taman orkid, taman rama-rama dan lain-lain yang terletak dalam kawasan tasik berkenaan berjalan lancar dan mencapai kemajuan kerja kira-kira 78 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan Raja Serama Peringkat Kebangsaan anjuran Ketengah yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Terengganu, Rozi Mamat.

Wan Mat Amin berkata, taman tropika yang menanam pokok-pokok nadir iaitu pokok buah-buahan yang hampir pupus, akan menjadi salah satu daya tarikan baru ke tasik itu.

"Taman Tropika kita wujudkan untuk antara lain untuk penyelidik buat kajian mengenai pokok buah-buahan yang hampir pupus untuk dipulihkan kembali," katanya.

Mengenai pertandingan Raja Serama Peringkat kebangsaan itu, sebanyak 534 ayam serama dipertandingkan melibatkan peserta dari seluruh negara. Ayam bernama Seri Bakong kepunyaan Razali Yusoh, 49, dari Kampung Kuala Bekah, Terengganu, muncul sebagai Raja Serama dengan memenangi wang tunai RM150 serta piala.

Sebelum itu, Seri Bakong menjadi juara bagi kategori Serama Muda dan memenangi hadiah wang tunai RM500.

Pertandingan Raja Serama itu melibatkan lapan kategori iaitu Serama A, Serama B, Serama Tanpa Lawi, Serama Muda, Serama Remaja, Serama Anak A, Serama Anak B dan Serama Induk yang mana setiap juara memenangi hadiah wang tunai RM500 tempat kedua (RM400) dan ketiga (RM300)

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment