Thursday, July 26, 2012

Najib - Bonus Bukti Keikhlasan, Kemampuan Kerajaan

Datuk Seri Najib Razak ketika hadir pada majlis penyerahan sumbangan dana bina masjid di tapak Masjid Al Mustaqim di Taman Nirwana Ampang, Kuala Lumpur, malam tadi.
Pemberian bonus kepada penjawat awam merupakan bukti keikhlasan kerajaan memperjuangkan kepentingan untung nasib rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata ia selaras dengan falsafah Gagasan 1Malaysia 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'.

"Ini mencerminkan kemampuan kerajaan mentadbir urus ekonomi negara dengan baik," katanya pada majlis moreh selepas menunaikan solat Isyak dan Tarawih di Surau Taman Sri Angsana Hilir, Pandan di Kuala Lumpur, semalam.

Perdana Menteri dalam kenyataan semalam mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam dan bayaran khas kepada pesara kerajaan, yang akan dibuat pada 9 Ogos.

Ia memberi manfaat kepada 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan.

Pada majlis di surau berkenaan, Najib mengumumkan pemberian 8,946 helai kain untuk dibuat jubah kepada imam dan ahli jawatankuasa masjid serta surau Jumaat di seluruh negara.

Selain itu, katanya setiap masjid di negeri Selangor akan menerima sumbangan 10 liter air zam-zam dan 10kg buah kurma.

"Semua pemberian ini diusahakan oleh Kelab Putera 1Malaysia," katanya. Najib turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM400,000 untuk menaik taraf Surau Taman Sri Angsana Hilir.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas pemberian bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.

Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, pemberian bonus dan juga Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap dedikasi penjawat awam serta pesara kerajaan.

"Pemberian bonus dan bayaran khas ini memang sungguh bermakna khasnya kepada penjawat awam yang berpendapatan sederhana terutamanya bagi membuat persiapan perayaan (Aidilfitri) yang bakal tiba," katanya semalam.

Omar turut berharap penjawat awam dan pesara kerajaan akan menggunakan pemberian bonus dan bayaran khas itu dengan sebaik-baiknya.

Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM), Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh berkata, bayaran khas itu membuktikan kerajaan prihatin terhadap para pesara yang dahulunya pernah berkhidmat dan berkorban tenaga dalam proses pembangunan negara.

Katanya ini menunjukkan Najib, seorang pemimpin yang bersikap mulia dan sangat menitikberatkan kebajikan penjawat awam serta pesara kerajaan.

Pesara kerajaan hendaklah menggunakan bonus secara berhemah, berjimat-cermat untuk melakukan perkara yang berfaedah, katanya.

Bagi penjawat awam yang masih berkhidmat, beliau menasihatkan mereka harus tekun bekerja dan taat kepada kerajaan supaya dapat melaksanakan hasil yang boleh diterjemahkan untuk kejayaan negara.

No comments:

Post a Comment