Thursday, July 5, 2012

Pasar Nelayan Diwujudkan Di Kampung Losong Atap Zink

Pasar nelayan akan diwujudkan berhampiran pangkalan pendaratan ikan di Kampung Losong Atap Zink, di sini, yang bertujuan membebaskan nelayan daripada belenggu orang tengah.

Pengerusi Wawasan Rukun Tetangga Losong Atap Zink Hasan Ismail berkata kini terdapat kira-kira 40 orang nelayan terutamanya nelayan pancing yang mendaratkan ikan di pangkalan tersebut setiap hari.


"Kita (Wawan Rukun Tetangga Losong Atap Zink) wujudkan pasar nelayan ini bertujuan untuk membebaskan nelayan daripada orang tengah," katanya dan menurutnya pasar itu akan mula beroperasi Ramadan ini.

Beliau berkata pasar nelayan itu yang terletak di laluan ke Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man dijangka akan dapat menarik perhatian orang ramai khususnya untuk membeli ikan segar.

Katanya selain ikan segar yang dijual dengan harga berpatutan, barangan keperluan lain seperti daging, ayam dan sayur-sayuran juga akan dijual oleh keluarga nelayan di pasar itu.

Hasan berkata pihaknya akan mengadakan kerjasama dengan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) untuk menangani masalah kekurangan bekalan ikan.

No comments:

Post a Comment