Saturday, July 14, 2012

Penderitaan Veteran UMNO Dapat Perhtaian Perdana Menteri

Najib bertanya khabar kepada Abdul Wahab pada majlis di Dungun pagi semalam.
Penderitaan veteran Umno Naqisah Yusof, 68, yang menghidap angin ahmar mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menziarahi beliau di rumahnya di Kampung Bukit Payong dekat Kuala Terengganu, semalam.

Najib mengunjungi bekas Ketua Wanita Umno Cawangan Bukit Payong itu selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Payong.

Naqisah, yang kini menggunakan kerusi roda melahirkan rasa syukur dan terharu atas kesudian Perdana Menteri meluangkan masa untuk bertanya khabar akan keadaan diri dan keluarganya.


"Makcik sangat terharu dapat melihat Perdana Menteri depan mata dan sudi datang ke rumah ini," katanya semalam.

Suaminya, Salleh Mohamad, 72, pula berkata kunjungan pemimpin nombor satu negara itu merupakan satu kenangan manis buat mereka sekeluarga.

Pengerusi Tetap Umno Marang itu berkata isterinya mengalami kelumpuhan badan sejak tujuh tahun lalu.

"Terima kasih atas kunjungan Perdana Menteri pada hari ini. Kehadiran beliau benar-benar mencipta sejarah buat kami sekeluarga," katanya.

Sebelum itu di Dungun, bekas Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) Dungun, Abdul Wahab Yunus dipilih Penerima Anugerah Tokoh Pemimpin Terbilang Peringkat Parlimen Dungun 2012.

Lebih manis lagi ia disampaikan sendiri Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan rasmi ke Terengganu, semalam.

Meskipun keadaan fizikalnya tidak seperti dahulu, Abdul Wahab, 71, yang lumpuh separuh badan dan terpaksa berkerusi roda untuk bergerak, bagaimanapun masih mampu memberi sumbangan idea.

Pergerakan yang terbatas berikutan diserang angin ahmar sejak dua tahun lepas, tidak menghalang memberi sumbangan bagi memastikan parti dan kerajaan terus mendapat sokongan rakyat.

Sebagai 'orang lama' dalam parti dan kerajaan, beliau masih menjadi rujukan pemimpin setempat terutama dalam melaksanakan agenda pembangunan di daerah Dungun khususnya dan Terengganu amnya.

"Walaupun tidak boleh aktif seperti dulu, saya sangat sayangkan BN yang selama ini menjadi tunjang pembangunan dan keamanan negara. Selagi boleh, saya akan terus memberi sumbangan termasuk idea untuk kesejahteraan rakyat terutama di Dungun dan Terengganu," katanya kepada pemberita di Dungun.

No comments:

Post a Comment