Saturday, July 7, 2012
Sukma Pahang, Medan Bakat Baru Tonjol Bakat Bergelar Atlet Kebangsaan
Pahang mengukir sejarah tersendiri apabila menjadi negeri pertama yang menganjurkan temasya Sukan Malaysia (Sukma) buat kali kedua, yang akan membuka tirai secara rasmi hari ini.
Berbekalkan pengalaman menjadi tuan rumah Sukma ke-6 pada 1996, Pahang dilihat tidak mempunyai banyak masalah untuk menganjurkan temasya ke-15 kali ini dengan jayanya.
Sukma merupakan pentas utama atlet di semua peringkat termasuk atlet pelapis, negeri dan daerah dari seluruh negara mencari peluang bergelar atlet kebangsaan dan seterusnya mewakili negara ke kejohanan antarabangsa.
Penyertaan 5,828 atlet dan pegawai termasuk kontinjen jemputan dari Brunei pada edisi kali ini, pasti membuka lebih ruang kepada Majlis Sukan Negara (MSN) mengenal pasti lebih ramai bakat baru yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Sebagai tuan rumah, Pahang menawarkan 369 pingat emas daripada 24 acara yang akan berlangsung di 24 venue di sini, Temerloh dan Pekan.
Tumpuan utama kali ini turut terarah kepada kuasa baru Sukma iaitu Terengganu yang merupakan juara bertahan sebanyak tiga kali berturut-turut iaitu di Kuala Lumpur pada 2011, Melaka (2010) dan di Terengganu sendiri (2008).
Pengarah Bahagian Pengurusan Acara MSN, Datuk Abdul Jalil Abdullah berkata beliau yakin dengan kemampuan Pahang memikul tugas sebagai tuan rumah, dari sudut penyedian kemudahan infrasuktur pertandingan yang sempurna dan kepakaran yang bakal disediakan.
"Pahang dilihat lebih berpengalaman kerana ini adalah kali kedua negeri 'Tok Gajah' ini menjadi tuan rumah bagi Sukma," katanya semalam.
Abdul Jalil juga memuji dengan kemudahan infrastruktur pertandingan yang disediakan oleh Pahang dan berharap para atlet tidak mempunyai alasan untuk tidak mempamer kemampuan sebenar mereka.
"Objektif utama penganjuran Sukma dari mula diperkenalkan pada tahun 1986 di Kuala Lumpur adalah tetap sama iaitu mahu mencungkil bakat baru bagi mewakili negara.
"Bagi edisi kali ini, MSN ingin melihat peningkatan dari segi mutu atlet yang mengambil bahagian sebelum mereka dipilih untuk mewakili negara," katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Jawatankuasa Teknikal Khas Sukma Pahang berkata MSN akan hanya memilih atlet berbakat dan berdisiplin yang boleh membawa nama dan imej negara bila beraksi di luar negara," katanya.
Sehubungan itu Abdul Jalil berharap semua atlet yang menyertai Sukma kali ini telah membuat persediaan untuk mencapai impian bergelar atlet kebangsaan
No comments:
Post a Comment