Monday, July 9, 2012

SUKMA - Ummi Hamimah, Mohd Fattah Cipta Kejutan Dalam 200m Pecut

Atlet Terengganu Ummi Hamimah Mohamad dan Mohd Fattah Amri Zaid dari Kedah mencipta kejutan apabila menundukkan peserta pilihan untuk meraih emas acara 200m pecut wanita dan lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-15 di Kuantan semalam.

Ummi Hamimah mengalahkan peserta yang lebih senior daripadanya Jupha Somnet dari Perlis dengan kiraan mata 2-0 manakala Mohd Fattah mengatasi prospek emas Muhd Arfy Qhairant Amran dari Melaka 2-1 dalam pusingan akhir.

Ummi Hamimah, 18, berkata beliau mengakui sukar untuk menang ke atas Jupha yang lebih berpengalaman daripadanya.


"Saya sangat gembira. Jurulatihlah yang banyak memberi cadangan dan pandangan dalam menghadapi perlawanan akhir menentang Jupha tadi. Hasil daripada strategi yang diaturnya saya dapat mencapai kejayaan ini," katanya semalam.

Gadis berasal dari Dungun itu turut mendedikasikan kemenangan tersebut kepada ibunya Rozita Chik yang menyambut harijadinya semalam.

Sementara itu, Mohd Fattah, 20, berkata perlumbaan di atas jalan raya lebih mencabar berbanding di dalam velodrome memandangkan pelumba tidak boleh menggunakan kelebihan ranking.

Beliau berkata sokongan keluarganya yang datang dari jauh telah menaikkan semangatnya untuk tidak berputus asa ketika terikat 1-1 dengan Muhd Arfy Qhairant. Gangsa bagi kategori wanita dan lelaki menjadi milik Lauretta Eva Adrian dari Sabah dan Muhamad Fakhruddin Daud@Dawod dari Johor.

No comments:

Post a Comment