Azizulhasni Awang (depan) mendahului pencabarnya dari Jepun Seiichiro Nakagawa (belakang) dan pelumba Venezuela, Hersony Canelon ketika berentap dalam acara pecut pada Olimpik London. |
Tempoh empat tahun bukan lama dan antara jarak selepas berakhirnya London 2012, Azizulhasni mempunyai deretan perlumbaan termasuk Kejohanan Dunia yang menantinya selepas ini.
Dia memiliki segalanya seperti jaguh-jaguh dunia yang lain kecuali berat badannya yang mengehadkan keupayaan 'kuasa' pelumba ini untuk bersaing walaupun dia telah mengerah kudratnya pada saat-saat menghampiri garisan penamat.
Meskipun tidak berjaya meraih pingat, pencapaian anak jati Terengganu ini di kota London boleh dibanggakan kerana dia berjaya menempatkan dirinya selaku pelumba keenam terbaik dunia dalam keirin dan ke-8 dunia dalam acara pecut.
Dia mengatasi rekod yang dibuatkan semasa temasya Beijing 2008. Peningkatan dalam tempoh itu juga meningkatkan keyakinan jurulatihnya, John Beasley bahawa anak didiknya ini akan mencapai kematangan dalam tempoh menunggu cabaran pingat emas di Rio 2016.
Bagi satu-satunya pelumba berbasikal wanita yang layak ke Olimpik, Fatehah Mustapa, pengalaman pertama beraksi di pentas berprestij ini sewajarnya menjadi teladan berguna untuk mempersiapkan diri ke Brazil.
Semangat Fatehah tinggi, namun usahanya perlu lebih mengatasi segala-galanya jika dia mahu berjaya dalam perlumbaan peringkat dunia atau setidak-tidaknya menjadi seperti Azizulhasni. Fatehah beruntung tidak mempunyai pencabar terdekat untuk mengisi tempat kuota pelumba negara dan dia seharusnya menggunakan kesempatan itu untuk mencabar dirinya sendiri keluar dari kepompong 'selesa'.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment