Saturday, August 4, 2012

Maidam Kutip Zakat RM40 Juta Dalam Tempoh 7 Bulan Pertama


Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) berjaya memungut zakat RM40 juta dalam tempoh tujuh bulan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Wan Harujan Sulaiman berkata jumlah itu meningkat berbanding tempoh yang sama RM30 juta tahun lepas.

"Biasanya lebih ramai orang membayar zakat dalam bulan Ramadan. Peningkatan ini membuktikan ekonomi penduduk dan syarikat perniagaan di negara ini khususnya Terengganu bertambah baik,”  katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat perniagaan Bank Simpanan Nasional (BSN) tahun 2011 sebanyak RM60,717 kepada Maidam di Kuala Terengganu, kelmarin.



Pengarah BSN Terengganu Mohd Haris Hashim mewakili BSN manakala Wan Harujan mewakili Maidam pada majlis tersebut.

Wan Harujan berkata daripada kutipan tersebut, Maidam mengagihkan kepada fakir miskin dan lain-lain RM42 juta.

Beliau berkata kutipan zakat melalui sistem pesanan ringkas (SMS) yang pertama kali diperkenalkan oleh Maidam tahun lepas mendapat sambutan menggalakkan.

Katanya Maidam memperluaskan lagi kutipan zakat malalui SMS apabila majlis itu mengadakan kerjasama dengan syarikat Maxis pada tahun ini.

Sementara itu, Mohd Haris berkata portfolio Perbankan Islam BSN telah mengalami pertumbuhan yang menggalakkan.

Katanya BSN secara keseluruhannya telah memperuntukkan bayaran zakat perniagaan RM4.75 juta hasil daripada perolehan pendapatan keuntungan produk-produk perbankan Islamnya bagi tahun kewangan 2011.

Beliau berkata antara produk-produk perbankan Islam BSN adalah Akaun Simpanan-i, Akaun Pelaburan-i, Pembiayaan perumahan, Pembiayaan Peribadi dan Kad Kredit Al-Aiman.

No comments:

Post a Comment