Sunday, August 12, 2012

Majlis Berbuka Puasa Kerajaan Negeri, PESAT Mesra dan Meriah

 

Lebih 2,500 jemputan terdiri daripada rakyat Terengganu di Selangor dan Lembah Kelang semalam berbuka puasa bersama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dalam suasana yang mesra dan meriah  di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur .

Majlis anjuran Kerajaan Terengganu dengan Persatuan Anak-anak Terengganu Di Selangor dan Wilayah Persekutuan (PESAT) serta Institut Integriti dan Kajian Strategik Terengganu (TISSI) itu bermula kira-kira jam 6.30 petang sehinggalah selesai jamuan moreh selepas solat Isyak dan tarawih berjemaah di Surau PWTC .

Tetamu turut bergambar kenangan dengan Menteri Besar, malah ada kalangan kanak-kanak yang meminta tandatangan Ahmad Said sebagai kenangan.

Tetamu mula memenuhi Dewan Tun Razak 4 sejak jam 5 petang lagi dan mereka turut dibadiahkan dengan bungkusan kurma dan air zam-zam tajaan kerajaan negeri.



Menteri Besar, Dauk Seri Ahmad Said gembira kerana majlis yang diadakan setiap tahun ini berjaya merapatkan hubungan kerajaan negeri dengan anak Terengganu di Lembah Kelang, selain menghimpunkan pelajar untuk berbuka puasa dan mengenali antara satu dengan lain.

Menurut beliau, kerajaan negeri mengalu-alukan sumbangan buah fikiran anak Terengganu di Selangor dan Wilayah Persekutuan bagi memajukan negeri.

Pada ucapannya Ahmad Said turut menjelaskan pendekatan serta kejayaan kerajaan negeri khususnya di bidang pelajaran, sukan serta menarik pelaburan asing dan dalam negara untuk melabur di Terengganu. Menurut beliau, tahun ini sahaja lebih RM7 bilion mampu dibawa masuk untuk pelaburan pelbagai projek di Terengganu.

Malah, menurut beliau Terengganu akan memberikan tumpuan kepada industri keluli sesuai dengan pembukaan semula lombong bijih besi di Dungun.


Dengan persetujuan kerajaan Pusat untuk membina pengangkutan rel dari Pelabuhan Kuantan ke Bukit Besi, dijangkakan kemudahan ini akan merancakkan lagi industri berat di Terengganu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Tan Sri Mohd Yusof Nor, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, beberapa Exco dan pegawai tinggi kerajaan negeri turut hadir. Isteri Menteri Besar, To' Puan Norliza Mahmud ikut serta.

Sementara itu, Presiden PESAT, Datuk Mohd Nawawi Ismail gembira dengan sokongan kerajaan negeri terhadap persatuan itu dan berharap ahli PESAT dapat membantu menyumbangkan idea untuk pembangunan negeri.

“Kita berterima kasih kepada kerajaan negeri khususnya Menteri Besar kerana terus memberikan bantuan termasuk buah fikiran dan kewangan, khsususnya dalam memajukan kegiatan persatuan ini,” katanya.

PESAT kini bukan sahaja memiliki bangunan sendiri malah menubuhkan koperasi bagi mempertingkatkan kedudukan ekonomi ahli.

“Kita sedang memperbanyakkkan ahli dan berharap kegiatan melalui koperasi akan memberikan faedah untuk ahli PESAT di Lembah Kelang,” katanya.

No comments:

Post a Comment