Monday, August 20, 2012

Pasangan Kembar Siam Berhari Raya Di Rumah Baru

 

Sambutan Aidilfitri keluarga pasangan kembar Siam, Norshazwanie dan Norshazrinie Zulkifli yang lahir pada 22 September tahun lalu lebih bermakna kali ini apabila dapat meraikannya di rumah baru.

Pasangan kembar yang berusia 11 bulan itu, telah dibenarkan pulang pada 27 Februari lalu setelah lima bulan ditempatkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Sebelum ini, ibu bapa mereka mengalami kesukaran untuk membawa pulang kedua-duanya ekoran rumah yang diduduki tidak menepati kriteria pihak hospital selain tidak sesuai serta selesa bagi menempatkan kembar Siam yang disahkan berkongsi jantung tersebut.

Bagaimanapun, Aidilfitri kali ini membawa rahmat buat mereka sekeluarga apabila dapat menyambut perayaan itu di rumah baru mereka bernilai RM33,000 hasil sumbangan kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) di penempatan rumah murah Bukit Kuang dekat Chukai.

Bagi bapa kembar Siam itu, Zulkifli Ngah, 42, tiada kata yang mampu diluahkan apabila dapat berkumpul bersama-sama setelah melalui saat-saat sukar ketika terpaksa berulang-alik ke hospital sebelum ini. "Memang tahun ini hari raya paling seronok sebab semua anak ada dan kami juga beraya di rumah baru," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia kelmarin.

Sementara itu, ibu pasangan kembar Siam tersebut, Noraini Mohamad, 32, memberitahu, seboleh-bolehnya dia mahu melihat kedua-dua anaknya itu dapat terus hidup dengan sihat serta membesar seperti kanak-kanak lain.

Dia juga berharap anak kembarnya dapat menjalani pembedahan untuk dipisahkan bagi membolehkan mereka hidup secara normal.

"Doktor memang ada maklum susah buat pembedahan kerana bahagian abdomen mereka bersambung selain tidak mempunyai punggung tetapi kami tetap berharap ia dapat dilakukan.

"Kasihan melihat mereka sukar hendak bergerak ketika bermain dengan kakak-kakaknya selain agak susah untuk menguruskan mereka kerana berat badan kembar ini semakin meningkat," jelasnya.

Noraini juga melahirkan rasa syukur apabila mereka sekeluarga tidak perlu lagi berulang-alik ke hospital seperti sebelum ini untuk melihat pasangan kembar itu.

"Saya memang tidak akan lupa bagaimana sukarnya kami ketika kembar ini ditempatkan di hospital kerana suami yang bekerja sebagai penjual ikan di Kemaman terpaksa berulang-alik setiap hari ke Kuala Terengganu.

"Namun kini, setiap kali tiba masa rawatan, pegawai Jabatan Kesihatan akan ke rumah kami dan tidak perlu lagi kami ke hospital dan pada saya, kembar ini membawa rezeki kepada seluruh keluarga," ujarnya.

No comments:

Post a Comment