Thursday, August 2, 2012

Pelajar Yayasan Terengganu Kesal Sertai Bersih 2.0 Di Mesir

Muhamad Hasyim (dua dari kanan) bersalamam dengan Menteri Besar sambil diperhatikan bapanya Che Ngah (dua dari kiri) semalam.
 "Saya sungguh kesal dan saya tidak akan buat lagi kerja yang sia-sia dan tidak bermanfaat begini."

Demikian luah Muhamad Hasyim Che Ngah yang pinjamannya ditamatkan Yayasan Terengganu (YT) selepas didapati menyertai perhimpunan Bersih dan Adil (Bersih 2.0) di Dataran Hayyu Asyier, Kaherah, Mesir, tahun lepas.


Muhamad Hasyim, 21, pelajar tahun tiga jurusan perubatan Universiti Al-Azhar adalah antara sembilan anak Terengganu yang menerima nasib itu, dan semalam beliau menemui Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said di Wisma Darul Iman, bagi merayu agar pinjamannya disambung semula.


"Saya sebelum ini telah diluluskan pinjaman oleh YT sebanyak RM301,144. Daripada jumlah itu saya telah belanja sebanyak RM170,000 untuk yuran pengajian dan sara hidup," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu.

Beliau yang datang bersama bapanya Che Ngah Abdullah, 57, berkata sejak pinjamannya ditamatkan pada Julai tahun lepas, tidak ada pihak lain yang tampil membantunya dalam meneruskan pengajian.

“Saya merayu agar diberi peluang kedua. Saya berjanji tidak akan melakukan perkara sama pada masa depan dan akan memberi tumpuan kepada pelajaran,” katanya yang pulang bercuti selama dua bulan.

Mengulas perhimpunan itu, Muhamad Hasyim berkata beliau mengetahuinya menerusi rakan dan internet beberapa hari sebelum ia berlangsung, selain diberitahu mengenai pemakaian baju-T berwarna kuning.

Dia mengakui beberapa rakannya turut terpengaruh dengan pelawaan pihak pembangkang untuk menyertai perhimpunan Bersih 2.0 di Dataran Hayyu Asyier, Kaherah pada 9 Julai tahun lalu.

Berikutan itu, YT menggantung pinjaman pengajian Muhamad Hasyim dan lapan pelajar lain dari negeri ini selepas mereka didapati bersalah terlibat dengan perhimpunan haram itu kerana tindakan mereka amat jelas melanggar penjanjian antara kedua-dua pihak.

“Saya menyesal di atas perbuatan itu yang dilakukan tanpa berfikir panjang. Kini saya terpaksa menanggung risiko untuk melanjutkan pelajaran di universiti berkenaan tanpa pinjaman YT.

“Selepas YT menarik balik pinjaman pengajian, tidak ada pihak lain yang datang membantu saya kecuali rakan-rakan dan keluarga,” katanya bagi melahirkan rasa kesalnya atas perbuatan yang dilakukan tanpa berfikir panjang itu.

Beliau turut memohon maaf kepada Menteri Besar, kerajaan negeri dan Yayasan Terengganu atas kesilapan tersebut dan amat berharap diberi peluang kedua bagi membaiki kesalahan tersebut.

“Saya berjanji selepas ini saya tidak akan terlibat lagi dengan kegiatan politik yang tidak sihat dan bertentangan dengan undang-undang negara, sebaliknya menumpukan perhatian kepada pelajaran saya,” tambahnya.

Sementara itu, Menteri Besar ketika ditanya reaksi terhadap permohonan pelajar berkenaan, berkata kes itu akan ditrujuk kepada Lembaga Pengarah YT dan keputusan muktamad akan diputuskan pada mesyuarat lembaga tidak lama lagi.

1 comment:

  1. Tuan admin budak nih memang jenis talam 40 muka ni, baru jer mintak maaf ngan Datuk Seri MB tapi lepah tuh masih lagi terlibat dengan PAS.

    http://harakahdaily.net/index.php/berita-utama/12252-pinjaman-yayasan-tganu-wajar-berlapang-dada

    www.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/12275-selepas-zalimi-pelajar-umno-tabur-pula-fitnah

    ReplyDelete