Sunday, August 12, 2012

Persiapan Aidilfitri Rentung Gara-Gara 3 Kanak-Kanak Bermain Mancis

Tindakan tiga kanak-kanak tidak menghiraukan larangan bermain penyembur racun serangga dan mancis di bawah rumah jirannya menyebabkan penghuni kediaman itu tinggal sehelai sepinggang apabila rumah itu musnah dalam kebakaran, semalam.

Lebih menyedihkan, kejadian jam 2.15 petang itu bukan saja memusnahkan persiapan Aidilfitri keluarga terbabit, malah turut menyebabkan pakaian raya dan persalinan pengantin yang ditempah pelanggan hangus.

Kebakaran berlaku ketika suri rumah, Zaini Zakaria, 45, sibuk menyediakan persiapan juadah berbuka puasa, manakala adik iparnya yang juga bekas kakitangan Syarikat Industri Batik Sutera Semai, Noraini Embong, 44, sibuk menjahit pakaian raya ditempah pelanggan.


Zaini berkata, ketika memasak dia ternampak tiga kanak-kanak termasuk dua anak jirannya bermain api di bawah pokok berhampiran rumahnya.

Bimbang berlaku perkara tidak diingini, katanya, dia melarang kanak-kanak itu supaya tidak bermain api.

Bagaimanapun, beliau berkata, kanak-kanak terbabit kemudian lari dan bermain api sambil menggunakan penyembur racun serangga di bawah kediamannya.

“Selang beberapa minit selepas melarang mereka bermain api, saya terdengar satu letupan kecil dan terkejut melihat api mula marak di seluruh kediaman.

Saya kemudian menyuruh lima anak berusia antara enam hingga 17 tahun menyelamatkan diri.

“Saya juga berteriak meminta Noraini yang ketika itu sedang sibuk menjahit pakaian raya pelanggan dan anaknya yang sedang asyik menonton televisyen menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Berikutan kebakaran itu, keluarga berkenaan mengalami kerugian lebih RM1.2 juta apabila semua perkakas rumah, termasuk wang tunai RM500 untuk membeli baju raya anak serta pakaian raya anak, saudara, jiran, dan persalinan pengantin ditempah pelanggan musnah.

“Seminggu saja lagi hendak menyambut Aidilfitri, tidak sangka pula akan ditimba musibah ini. Walaupun sedih, saya bersyukur keluarga selamat,” kata Zaini yang terkilan tidak sempat menyelamatkan apa-apa.

Berita Harian

No comments:

Post a Comment