Wednesday, August 1, 2012

RM500 Juta Siapkan Lebuh Raya Hulu Terengganu - Hulu Besut

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (tiga, kanan) menyampaikan cek berjumlah RM1.435 juta kepada wakil 287 isteri-isteri peneroka Felda Tenang kelmarin.
Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM500 juta bagi pembinaan lebuh raya menyambungkan Hulu Terengganu dan Hulu Besut, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata pembinaan lebuh raya yang akan bermula tidak lama lagi itu menyambungkan Hulu Terengganu melalui Gunung Bongsu ke Keruak, Hulu Besut dan akan dilaksana secara berperingkat.

Pembinaan fasa pertama membabitkan jarak 40 kilometer dengan kos RM110 juta.



Menteri Besar berkata, lebuh raya itu akan turut menyambungkan kawasan Terengganu dengan sempadan Kelantan di Gua Musang itu, dijangka siap dalam tempoh tiga atau empat tahun dari sekarang.

"Pelaksanaan projek lebuh raya yang upacara pecah tanahnya dilakukan pada tahun 2008 itu membuktikan kerajaan Barisan Nasional mengotakan janji kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek bernilai RM1.4 juta kepada 287 isteri peneroka dan berbuka puasa di Felda Tenang, Hulu Besut kelmarin (Isnin, 30 Julai 2012).

Hadir sama Ketua Umno Bahagian Besut Datuk Seri Idris Jusoh, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar, Anggota Dewan Undangan negeri Kawasan Hulu Besut Nawi Mohamad, Pegawai Daerah Besut A Rahim Jusoh serta pegawai kanan kerajaan daerah itu.

Majlis penyerahan replika cek sempena berbuka puasa itu adalah lawatan pertama Menteri Besar ke rancangan tanah berkenaan sejak beliau menerajui kerajaan negeri.

Pada majlis itu beliau mengingatkan peneroka Felda supaya bersyukur kerana mendapat pelbagai nikmat hasil daripada usaha kerajaan BN memajukan agensi itu malah ia turut dicemburui oleh mereka yang tinggal di luar Felda.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata pembinaan dua hospital baru di daerah Kemaman dan Dungun membabitkan perbelanjaan RM330 juta akan dimulakan akhir tahun ini.


Hospital baru daerah Kemaman itu akan dibina di Kijal kerana kedudukan hospital yang ada sekarang tidak lagi sesuai dengan pembangunan setempat manakala Hospital Dungun pula akan dibangunkan ditapak asal, katanya.

No comments:

Post a Comment