Wednesday, August 22, 2012

SMK Seri Budiman Jadi Sekolah Skuad Berbasikal Wanita Terengganu

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Budiman di Kuala Terengganu, dijadikan sebagai sekolah angkat kepada pelumba basikal wanita Terengganu.

Jurulatih lumba basikal Terengganu, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata ia bagi memudahkan persiapan melatih pelumba basikal wanita negeri itu menghadapi mini Sukan Malaysia (Sukma) di Kuala Lumpur pada tahun depan.

"Kita telah bincang perkara itu beberapa hari lepas dan pihak sekolah bersetuju," katanya semalam.
Beliau berkata semua pelumba basikal wanita akan ditempatkan di sekolah itu supaya mereka dapat memberikan fokus kepada persiapan dan latihan.

Syed Hussaini berkata seramai 12 pelumba akan dipilih daripada sekolah-sekolah menganggotai skuad berbasikal Terengganu pada temasya itu kelak. "Kita akan panggil pelumba basikal berbakat dari luar Kuala Terengganu untuk diuji di sekolah berkenaan," katanya.

Beliau berkata ketika ini, Terengganu mempunyai empat pelumba elit dan memerlukan sekurang-kurangnya tujuh atau lapan lagi bagi memperkuatkan skuad negeri itu. Acara berbasikal memberi sumbangan terbesar kepada kontinjen Terengganu dalam pungutan pingat emas di setiap temasya Sukma, sebelum ini.

Syed Hussaini berkata pelumba basikal wanita Terengganu akan menjalani latihan serupa seperti pelumba lelaki selepas hari raya termasuk mengadakan latihan di luar negeri itu.

Katanya mereka akan memulakan latihan peringkat pertama dari Ogos hingga Disember ini, sejauh antara 100 dan 120 kilometer sehari di sekitar daerah Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment