Wednesday, August 29, 2012

Syarikat Pengeluar Batu Bata Terengganu Hadapi Saingan Sengit

Gambar Hiasan,,,batu bata yang siap untuk dipasarkan.
Permint Bina Bahan Sdn Bhd (PBBSB) pengedar utama bahan binaan batu bata merah di Terengganu, kini berdepan dengan masalah permintaan yang berkurangan berikutan saingan daripada pengeluar luar negeri itu dan peningkatan penggunaan bahan lain.

Pengurus PBBSB Noorddan Mohd berkata selain menghadapi persaingan daripada syarikat pengeluar luar Terengganu, keadaan berkenaan juga berikutan kurangnya projek pembangunan dan penggunaan bahan lain seperti konkrit atau batu bata simen.


 "Apabila projek pembinaan kurang atau menggunakan bahan lain seperti konkrit dan batu bata diperbuat daripada simen, maka batu bata yang kita keluarkan daripada kilang PBBSB di Batu 19-1/2 Jalan Kelantan menjadi longgokan

 "Yang lebih perit lagi apabila batu bata yang dikeluarkan PBBSB mendapat saingan daripada pengeluar batu bata dari luar Terengganu yang dijual dengan lebih murah dengan mutunya tidak sebaik yang dikeluarkan di sini," katanya kepada diKuala Terengganu, semalam.

Noorddan berkata, PBBSB, anak syarikat Perbandanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (SEDC), yang dibuka pada 1981, kini mampu mengeluarkan kira-kira 500,000 keping batu bata sebulan untuk pasaran negeri itu.

Katanya batu bata syarikat itu yang diperbuat daripada tanah liat yang digali dan dijemur sebelum proses pembakaran di kilang, dijual dengan harga 35 sen sekeping, dengan mutunya jauh lebih baik daripada bahan yang dikeluarkan oleh syarikat batu bata dari luar Terengganu.

Beliau berkata, batu bata yang dipasarkan syarikat luar menggunakan bahan daripada tanah bukit yang bermutu rendah, tanpa menjalani proses penjemuran dan sebagainya yang dijual dengan harga yang rendah.

"Yang hairannya, syarikat dari luar ini tidak dikenakan duti atau cukai oleh Pejabat Tanah atau Pejabat Tanah dan Galian negeri (PTG) apabila dibawa masuk dan dipasarkan ke sini, sedangkan kita di sini dikenakan cukai.

 "Saya berharaplah pihak berkuasa seperti PTG mengenakan syarat atau cukai kepada syarikat-syarikat batu bata dari luar yang mengedar bahan binaan berkenaan di negeri ini. "Ini penting bagi membantu syarikat-syarikat batu bata tempatan bernafas kembali," katanya.

Noorddan berkata, masalah itu bukan sahaja dihadapi oleh syarikatnya, tetapi syarikat-syarikat swasta yang ada di negeri itu.

 "Sudah ada beberapa syarikat pengeluar batu bata swasta gulung tikar apabila bahan binaan itu tidak mendapat sambutan atau tidak dapat dipasarkan di sini.

"Kita juga boleh lihat longgokan batu bata di kilang-kilang swasta yang beroperasi di kawasan Kuala Nerus yang tidak dapat dijual akibat daripada persaingan syarikat luar dan masalah kurangnya projek pembinaan di sini," katanya.

1 comment:

  1. terima kasih semoga berkah thanks
    https://batubatajepara.com

    ReplyDelete