Wednesday, August 22, 2012

T-Team Sedia Bertemu Pahang Di Kuantan Malam Ini

 Mohd Fauzi, Sumardi dan Sharul Azhar bersama skuad T-Team mendengar penerangan ringkas berhubung perlawanan pembukaan menentang Pahang esok sebelum memulakan sesi latihan.
Pasukan berstatus kelab, T-Team bersedia menghadapi saingan Piala Malaysia dengan kehadiran tiga pemain pinjaman dari Sabah dan ATM dalam memperkuatkan pasukan menjelang perlawanan pembukaan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini.

 Pengendalinya, Yunus Alif berkata, sejak saingan Liga Super berakhir, skuad bimbingan sudah melakukan persiapan rapi dengan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur dan turut menjalani latihan sepanjang bulan puasa dalam memperkemaskan corak permainan.

Menurutnya, beliau juga berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan tiga pemain pinjaman sejak mereka menyertai pasukan hampir dua minggu lalu.


“Mereka bertiga telah menunjukkan prestasi dan persefahaman yang baik bersama pasukan sepanjang latihan serta perlawanan persahabatan baru-baru ini.

“Saya dapati mereka mempunyai persefahaman yang jitu dengan pemain dalam pasukan dan ia boleh digilap lagi,” katanya.

Tiga pemain pinjaman yang dibawa masuk bersama pasukan T-Team bagi memantapkan lagi pasukan adalah Sumardi Hajalan dan Shahrul Azhar Ture dari Sabah di posisi pertahanan manakala Mohd Fauzi Abd Majid daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bahagian serangan.

Dalam pada itu, Yunus turut memaklumkan, kedua pemain Sabah yang bermain di bahagian pertahanan itu turut mempunyai kelebihan tersendiri apabila mereka berdua mampu beraksi hampir di kesemua posisi. Katanya, kelebihan tersebut tentu sekali menguntungkan pasukan T-Team apabila dapat menurunkan mereka di bahagian lain selain pertahanan apabila mengharungi Piala Malaysia kelak.

“Selain itu, saya juga mendapati corak mereka bergerak dan bertahan meyakinkan sepanjang latihan dan sesi perlawanan persahabatan lalu. “Malah, saya mengharapkan pemain pinjaman ini mampu memberikan impak kepada pasukan apabila bermula kancah Piala Malaysia terutama dalam perlawanan pembukaan nanti,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung kedudukan T-Team yang diletakkan bersama-sama Selangor, Sarawak dan Pahang dalam Kumpulan D , Yunus berkata, walaupun skuad bimbingannya tidak diletakkan dalam kumpulan ‘maut’ tetapi mereka perlu bersedia dan berwaspada setiap perlawanan.

Yunus berkata, kesemua pasukan mempunyai keazaman yang tinggi dalam memastikan kemenangan untuk menjulang Piala Malaysia.

“Justeru, saya mengingatkan kepada setiap pemain supaya mereka tidak mengambil mudah prestasi pasukan lain sepanjang saingan Piala Malaysia seterusnya mampu melangkah ke pusingan seterusnya.

“Di atas kertas, pasukan Selangor dilihat menjadi pilihan untuk layak ke slot seterusnya tetapi dalam bola sepak apa-apa sahaja boleh berlaku dan semua pasukan mempunyai peluang sama rata,” katanya.

Yunus berharap, setiap pemain akan bermain dengan penuh semangat dan bersungguh-sungguh untuk memperbaiki sasaran tahun lalu apabila layak sehingga peringkat suku akhir Piala Malaysia.

No comments:

Post a Comment