Wednesday, August 29, 2012
Yayasan Terengganu Peruntuk RM2.2 Juta Untuk Pelajar Ke Luar Negara
Yayasan Terengganu (YT) menyediakan wang pendahuluan berjumlah RM2.2 juta kepada 110 anak negeri itu yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara bermula September ini.
Pengarahnya, Zakaria Yusof berkata sumbangan itu bertujuan meringankan beban kewangan keluarga pelajar terbabit dalam menyediakan persiapan awal sebelum berlepas ke luar negara.
"Saya berharap pelajar yang terpilih itu semua dapat memanfaatkannya sebaik mungkin dan hargailah usaha yayasan ini dengan menjadi pelajar yang akan memberi sumbangan kepada kemajuan negara setelah tamat pengajian kelak,” katanya.
Beliau berkata, demikian di Majlis Bersama Pelajar Terengganu Luar Negara serta Penyampaian Wang Pendahuluan Kepada Pelajar Sesi 2012/2013 di Ri-Yaz Heritage Resort & Spa, Pulau Duyong, di Kuala Terengganu, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman; Timbalan Pengarah Pelajaran, Hashim Mohd Zin dan Timbalan Pengarah (Pendidikan) YT, Encik Razali Mahmud.
Daripada jumlah itu, 47 pelajar akan menyambung pengajian di Rusia, masing-masing 16 di Moscow State Medical University dan 31 di Volgograd State Medical University. Selain itu, 45 pelajar akan ke Jordan iaitu 25 dalam bidang pengajian Islam, 15 dalam perubatan dan lima mengikuti bidang pergigian.
Sebanyak 17 pelajar lagi ke United Kingdom dan seorang ke Amerika Syarikat untuk menyambung pengajian dalam pelbagai bidang seperti animasi, seni bina, kejuruteraan mekanikal dan sains bioperubatan.
Bagi penerima pinjaman YT, Hee Jee Yen, 20, dari Batu Buruk, Kuala Terengganu, dia berasa bersyukur dan amat terhutang budi kepada penaja yang meluluskan jumlah pinjaman cukup tinggi, sebanyak RM766,260 bagi meneruskan pengajian Sarjana Muda kejuruteraan Bio Perubatan di Imperial College, United Kingdom bulan depan.
“Bantuan YT amat membantu saya kerana bukan mudah untuk mendapat pembiayan yang cukup besar memandangkan keluarga tidak mampu menyediakan bajet itu sendiri.
“Saya berjanji untuk belajar dengan tekun dan memperolehi keputusan cemerlang. Malah, satu masa nanti saya berhasrat untuk mencipta fasiliti perubatan yang akan memberi manfaat kepada masyarakat Malaysia dan Terengganu khasnya,” kata bekas pelajar A-Level di Kolej Tailor yang memperolehi 9A+ dan 1A- dalam Sijil Pelajaran Malaysia tiga tahun lalu.
Jee Yen ditemui pada Majlis Makan Malam Bersama Pelajar Terengganu Luar Negara serta Penyampaian Wang pendahuluan Kepada pelajar Sesi 2012/2013 di Ri-Yaz Heritage Resort & Spa, Pulau Duyong, semalam (27 Ogos).
Seorang pelajar, Tengku Zainal Abidin Tengku Mamat, 23, pula berasa cukup bertuah kerana atas tiket bapanya, Tengku Mamat Tengku Omar, 64, yang berasal dari Terengganu melayakkan dia menikmati pinjaman pelajaran YT berjumlah RM162,579.50 bagi menyambung pengajian Sarjana Lanjutan Animasi di Universiti Bristol, England.
“Saya cukup bertuah dan sangat teruja dengan kelayakan dan kelebihan yang ada ini membolehkan saya meneruskan cita-cita menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi bagi menggapai impian hidup dan membanggakan ibu bapa dan pihak penaja yang membantu.
“Selepas menamatkan pengajian tiga tahun lagi saya mahu menghasilkan animasi yang mampu membuka minda dan menyedarkan masyarakat betapa untungnya menjadi anak Malaysia,” kata anak bongsu daripada lima beradik dari Kuala Lumpur itu.
Kegembiraan itu turut dirasai Nuraini Fariha Mazlan, 19, dari Dungun, yang memperolehi pinjaman YT berjumlah RM286,000 bagi menyambung pengajian dalam bidang Perubatan di Volgograde University selama empat tahun, tidak lama lagi. “Rasa sangat bertuah menjadi anak Terengganu.
Bukan semua pelajar berpeluang mendapat bantuan dan kemudahan ini.
Oleh itu, saya mahu membalas jasa semua yang membantu terutama ibu bapa, guru, saudara mara serta pihak penaja, iaitu Kerajaan Terengganu yang menyediakan ruang ini bagi saya mencapai hasrat bergelar doktor dan membantu masyarakat pula satu masa nanti,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mak Lagam Kemaman yang memperolehi 10A dalam SPM lalu itu.
No comments:
Post a Comment