Tuesday, August 7, 2012

YIT Dijangka Catat Keuntungan Hampir RM50 Juta Apabila Beberapa Bidang Tanah Dimajukan

Yayasan Islam Terengganu (YIT) dijangka memperolehi keuntungan bersih RM22 juta apabila beberapa bidang tanah milik anak syarikat kerajaan negeri itu, yang terletak di tengah bandar ini, dibangunkan oleh pemaju hartanah swasta menjelang hujung tahun ini.

Pengarah YIT Md Kamaru Al-Amin Ismail berkata tanah yang akan dibangunkan itu, yang kini masih menjadi tapak meletak kenderaan, merupakan projek pembinaan sebuah menara setinggi 20 tingkat yang dianggarkan menelan belanja RM100 juta berhadapan rumah pangsa Kampung Kolam di Kuala Terengganu.

"Kami baru selesai menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan satu syarikat tempatan untuk membangunkan kawasan tersebut," katanya semalam.

Menurut Md Kamaru Al-Amin, YIT dijangka memperoleh RM30 juta hasil pembangunan kawasan seluas kira-kira 2.2 hektar itu dan pendahuluan RM1.5 juta telah pun dibayar kepada YIT.

Mengulas lanjut mengenai projek itu, beliau berkata perlaksanaan projek itu dijadual bermula September ini apabila segala urusan dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) selesai.

Katanya projek yang menyediakan rumah kedai dan hotel serta menara itu dijangka siap sepenuhnya dua tahun lagi dan bakal menjadi mercu tanda YIT yang terbaharu di bandar ini.

Beliau berkata pembangunan hartanah milik YIT seterusnya ialah di hadapan Awana Kijal Resort seluas 5.0 hektar dan Kemasik 2.0 hektar di mana kedua-duanya dalam daerah Kemaman bagi pelaksanaan projek rumah dan kedai.

"YIT akan memperolehi pendapatan bersih RM14 juta dari kedua-dua projek itu selepas dibangunkan oleh pemaju nanti," katanya. Md Kamaru Al-Amin berkata satu lagi projek hartanah yang akan dibangunkan dengan rumah kedai dan rumah kediaman pada tahun ini ialah satu tapak berdekatan dengan Hospital Setiu.

Beliau berkata projek yang akan dilaksanakan oleh sebuah syarikat tempatan itu akan melibatkan kawasan seluas 2.0 hektar dan ia akan memberi pendapatan RM3 juta kepada YIT.

Di Kampung Raja, Besut pula, YIT akan membangunkan kawasan seluas kira-kira 0.6 hektar juga dengan projek rumah kedai yang akan memberi pulangan RM1.6 juta kepada agensi kerajaan itu.

Beliau berkata keputusan melantik dan memilih syarikat-syarikat pemaju untuk kesemua projek tersebut telah dilakukan dalam mesyuarat lembaga YIT baru-baru ini.

"Kita pilih dan melantik syarikat-syarikat tempatan untuk mengadakan usahasama untuk membangunkan tanah YIT itu," katanya, sambil berharap perolehan tersebut akan mengukuhkan lagi kedudukan kewangan YIT.

No comments:

Post a Comment