Tuesday, August 21, 2012

YPU Cari Kaedah Terbaru Modenkan Perkhidmatan Beca

Gambar Hiasan...Beca berhias memang menjadi daya tarikan.
Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) kini memikirkan kaedah baru bagi memodenkan perkhidmatan beca di bandar ini untuk menambah tarikan perkhidmatan itu, seterusnya mempertingkat taraf ekonomi penarik beca.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azmi Razik berkata YPU mungkin menggunakan konsep yang dilaksanakan di Melaka.

"Di Melaka, pengayuh beca dia programkan, itu satu cara yang baik yang kita lihat perlu kita lakukan di sini, terutama apabila Payang Walk siap dibina nanti," katanya semalam.

Beliau berkata Payang Walk, atau kawasan pejalan kaki berhampiran Pasar Payang, akan dibina kira-kira sejauh satu setengah kilometer di pesisir benteng sungai Terengganu selepas Pasar Payang yang baru siap.

Ini secara tidak langsung akan merubah wajah kawasan pesisir Sungai Terengganu sekaligus menjadi satu lagi tempat riadah di bandar ini.

Azmi berkata selepas Payang Walk siap dibina, semua kenderaan tidak akan dibenarkan masuk dan orang ramai yang ingin ke Pasar Payang perlu menaiki beca atau berjalan kaki.

Beliau berkata YPU akan mewujudkan sebuah syarikat untuk pengayuh beca dan mengambil golongan muda yang benar-benar bertenaga untuk berkhidmat di kawasan pejalan kaki itu.

Katanya, pengayuh beca mungkin tidak merasa perit jerih mencari pelanggan apabila kerajaan melaksanakan beberapa kaedah baru pada masa depan dan waktu itu, mereka mungkin dibayar gaji bulanan oleh syarikat yang mengambil tender.

Azmi juga berkata pihaknya akan mengemukakan segala perancangan dan cadangan itu kepada kerajaan negeri, dan sempena Tahun Melawat Terengganu 2013,

YPU cuba memohon peruntukan bagi mencantikkan beca di bandar ini.

 "Ini penting bagi menjaga imej dan nama baik negeri serta rakyat dari sudut pandangan pelancong luar yang datang ke negeri ini nanti," katanya.

Ketika ini, terdapat hampir 100 beca yang masih aktif beroperasi setiap hari di bandar Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment