Thursday, September 6, 2012

Butler Bayangkan Mahu Terus Latih Pasukan Terengganu Tahun Depan


Jurulatih Terengganu, Peter James Butler yakin pasukan Terengganu tahun depan akan lebih mantap biarpun kini dilanda pelbagai kontroversi sejak akhir-akhir ini.

Membayangkan yang beliau akan kekal mengemudi pasukan itu, jurulatih dari England itu menaruh harapan kuat terhadap skuad 'Peteh Ganu Peteh' kerana masih mempunyai pemain muka baru dan lama, berkaliber dan berpotensi.

Malah jurulatih yang pernah membimbing skuad Kelantan sebelum ini, berkata beliau mempunyai perancangan terhadap skuad Penyu itu khususnya dalam membentuk pemain muda menerajuinya pada masa depan.
"Ya...saya suka (berada) di sini. Tetapi saya sedikit kecewa dengan masalah melanda pasukan (Terengganu) kerana ini adalah kali pertama saya berhadapan situasi sebegini sepanjang karier sebagai pemain dan jurulatih.

"Bagaimanapun saya yakin dengan keputusan pengurusan dan saya merancang membina pasukan yang lebih kuat di sini pada musim depan bersama Terengganu walau apapun terjadi," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu semalam.

Amat jelas walaupun berdepan dengan pelbagai kontroversi, ketua jurulatih Terengganu itu tidak sesekali patah semangat walaupun skuad kendaliannya sudah boleh mengucapkan selamat tinggal pada kempen Piala Malaysia musim ini.

Malam kelmarin, Terengganu tewas 0-2 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, sekali gus menyaksikan mereka menghuni tangga tercorot Kumpulan B dengan mengutip empat mata.

Butler berkata, beliau amat berterima kasih kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang sentiasa memberi sokongan.

Jelas Butler, jika terus diberi kepercayaan membimbing Terengganu musim depan, beliau yakin dapat membina sebuah pasukan yang kembali disegani di pentas Liga M.

 "Saya yakin mampu meletakkan Terengganu menjadi pasukan yang digeruni dan pemain yang menyarung jersi pasukan pasti bangga memakainya," jelasnya.

No comments:

Post a Comment