Wednesday, September 19, 2012
Ismail Faruqi Dipalit Perasaan Malu, Mungkin Saman Butler
Pemain tengah Terengganu, Ismail Faruqi Asha’ri yang dipalit perasaan malu berhubung dakwaan Peter Butler menuduhnya membawa wanita masuk ke bilik penginapan pada pagi sebelum pertemuan dengan Kedah pada 28 Ogos lalu tidak menolak kemungkinan akan meneruskan saman terhadap jurulatih itu.
Menurut pemain itu, tindakan saman itu mungkin memberi pengajaran kepada jurulatih terbabit supaya tidak membuat tuduhan melulu tanpa usul periksa.
“Saya tidak menolak kemungkinan menyaman Butler namun saya memerlukan sedikit masa untuk berbincang dengan keluarga terlebih dulu sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.
Ismail yang mendirikan rumahtangga Mei lalu berkata demikian selepas mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang dipengerusi peguam, Ahmad Shukri Zakaria kelmarin sebulat suara memutuskan pemain itu dan Muhamad Muslim Ahmad tidak bersalah membawa wanita masuk ke bilik penginapan sebelum perlawanan bertemu Kedah.
Bagaimanapun, bagi kesalahan kedua iaitu keluar dan masuk ke bilik penginapan jam 3 pagi, dua pemain itu didenda RM1,000 setiap seorang dan diberi amaran keras selepas mengaku salah keluar dan masuk tanpa kebenaran pegawai PBSNT.
“Saya bersyukur sudah terbukti saya tidak melakukan perkara itu dan tidak mahu lagi isu ini timbul untuk mengelak tumpuan dalam karier terjejas,” kata bekas pemain kebangsaan itu.
Bagi Muhamad Muslim pula, dia belum mahu memberi sebarang pandangan sama ada ingin meneruskan saman ke atas jurulatih itu atau sebaliknya
“Saya tak mahu komen apa-apa walaupun saya tidak bersalah, tunggu masanya untuk saya memberi reaksi,” katanya.
Harian Metro
No comments:
Post a Comment