Sunday, September 9, 2012

Jenazah 2 Pelajar Maut Di Rusia DiSemadikan di Dungun, Putrajaya

Dimyati Mohamad menyiram air mawar di pusara anaknya, Adzreen sambil diperhatikan oleh ahli keluarganya di Putrajaya semalam.
Suasana sedih menyelubungi Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah, Kampung Molek, di Dungun, apabila ibu bapa pelajar Malaysia yang maut dalam kemalangan di Rusia terpaksa dipapah saudara mara untuk melihat jenazah anaknya, semalam.

Muhd Shah Salleh, 62, dan isterinya, Rokayah Mohd, 61, yang terlalu sedih hingga hilang tenaga untuk berjalan sendiri terpaksa dibantu saudara lain untuk melihat jenazah anak kesayangan mereka, Hanizah Muhd Shah, 22, yang meninggal dunia bersama seorang rakannya, Adzreen Dimyati, 22, dalam kemalangan jalan raya di Vladimirskaya, Rusia, Ahad lalu.


Mereka yang sebelum ini memberitahu tidak sanggup menatap wajah arwah mengubah fikiran sebelum turut mencium jenazah anaknya itu. Jenazah Hanisah, 22, yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 11 malam kelmarin dibawa dengan kereta jenazah dan tiba di Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah pada jam 6 pagi sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Syed Yahaya, Kampung Molek untuk dikebumikan.

Muhd Shah berkata, dia dan isterinya sebelum itu tidak mahu menatap wajah arwah kerana mahu menjadikan kenangan manis wajah keceriaan anaknya sepanjang dua bulan bercuti di kampung dan saat perpisahan di KLIA pada 2 September lalu kekal dalam ingatan mereka.

“Saya dan isteri pada mulanya mengambil keputusan tidak mahu menatap wajahnya dan mencadangkan jenazah arwah segera disembahyangkan dan dikebumikan namun hari ini (semalam), hati kecil kami berbisik agar menatapnya untuk kali terakhir,” katanya.

Menurutnya, biarpun sedih, dia dan isteri berpuas hati kerana dapat menunaikan semua permintaan arwah sepanjang dua bulan pulang bercuti termasuk menyambut Aidilfitri dengan mereka sekeluarga.


Sementara itu jenazah Adzreen 22, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 di Putrajaya semalam.

Jenazah pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 9.45 malam kelmarin menerusi pesawat Emirates Airlines dari Dubai.

Jenazah kemudian dibawa ke Surau Al-Iman Presint 9 untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan kira-kira pukul 1.40 pagi semalam.

Ibu saudara mangsa, Datuk Rabeahtul A. Abbas yang mewakili keluarga mangsa menyampaikan ucapan terima kasih kepada kerajaan dan semua pihak yang terlibat mengendalikan urusan membawa pulang jenazah.

"Maaf, ibu bapa arwah belum bersedia untuk bertemu media kerana mereka masih terkejut dengan kejadian itu," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 3 pagi Isnin lalu (11 malam Ahad waktu Rusia), Adzreen bersama enam lagi pelajar Malaysia dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Moscow ke kampus mereka di Akademi Perubatan Negeri Nizhny Novgorod.

Malangnya, bas yang mereka naiki terbabit dengan kemalangan di wilayah Vladimirskaya, 120 kilometer dari wilayah Nizhny ekoran kegagalan pemandu mengawal kenderaan kerana dipercayai terlelap.

Adzreen meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital manakala Hanisah yang merupakan pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat maut di tempat kejadian.

Kosmo & Harian Metro

1 comment:

  1. Fast cash offer for you today at just 3% interest rate, both long and short term cash of all amounts and currencies, no collateral required. Apply now for your instant approval financialserviceoffer876@gmail.com WhatsApp +918929509036

    ReplyDelete