Thursday, September 13, 2012

Pelan Pendidikan Untuk Lahirkan Generasi Berwibawa


Keputusan kerajaan mengubah sistem pendidikan negara mendapat sokongan semua pihak dan pada masa sama memberikan pelbagai cadangan penambahbaikan.

Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin itu bagi memastikan setiap rakyat mendapat pendidikan terbaik bersandarkan keperluan semasa dan masa hadapan mencabar.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, berkata anak-anak zaman sekarang semakin cerdik dan cepat matang, jadi tak perlu bersekolah terlalu lama.

Dengan perubahan ini, pada usia 21 tahun mereka sudah lulus sebagai siswazah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula berkata, laporan itu memberi petanda baik kepada masa depan pendidikan negara dan yakin ia dapat membantu kerajaan terus melakukan transformasi pendidikan yang merentasi politik bagi melahirkan generasi berwibawa.

Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah, berkata pelan itu adalah satu rancangan jangka panjang yang memberi banyak manfaat kepada pendidik.

"Saya lihat, apa yang ditegaskan Perdana Menteri adalah untuk meningkatkan prestasi pendidik. Untuk itu, ia memerlukan perubahan sikap semua pihak dalam bidang pendidikan,"  katanya.

Di Jerantut, Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohd Sabri Arshad yang menyokong pelan itu mahu laporan itu dilaksanakan dengan penuh teliti, komprehensif dan berhati-hati dari semua sudut bagi mengelak kegagalan. Presiden Kesatuan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KGLMSM),

Jemale Paiman, pula berpendapat laporan pelan tindakan holistik itu membabitkan semua lapisan masyarakat di bandar dan luar bandar dalam usaha menjaga piawaian pendidikan setara. Ini akan merapatkan jurang perbezaan mutu pendidikan di bandar dan luar bandar kerana selama ini ramai beranggapan perbezaan lokasi menentukan mutu dan kejayaan sesebuah sekolah, katanya.

Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam, Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia (ASLI), Tan Sri Ramon Navaratnam pula menyarankan beberapa penambahbaikan dilakukan untuk menjadikan pelan itu lebih inklusif.

Katanya, dasar pendidikan negara sepatutnya menghapuskan sistem dikotomi dengan memastikan semua aliran sekolah diberi karektor kebangsaan dan bersifat inklusif untuk kepentingan perpaduan nasional.

Tidak dinyatakan bagaimana sekolah vernakular, mubaligh dan sekolah agama yang dikategorikan sekolah jenis kebangsaan dan menerima bantuan kewangan terhad, boleh dijadikan sekolah bantuan penuh dan sekolah kebangsaan. Majoriti pelajar di sekolah mubaligh adalah pelajar Melayu, maka kajian semula adalah perlu, katanya.

Berita Harian

No comments:

Post a Comment