Sunday, September 30, 2012

Kerajaan Bangunkan Pusat Ternak Lebah Di Tasik Kenyir


Kerajaan negeri berhasrat untuk membangunkan sebuah pulau di Tasik Kenyir sebagai pusat penternakan lebah satu masa nanti.

Usaha itu bukan sahaja dapat meningkatkan sektor pertanian negeri dan menambah ekonomi masyarakat setempat, malah menjadi satu lagi produk baru yang mampu menarik pelancong ke tasik terbesar di Asia Tenggara itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri akan meneliti semula perkara itu secara terperinci bagi melihat kesesuaian sama ada menternak lebah yang menghasilkan madu tualang seperti di hutan Marang atau madu akasia di hutan Setiu.

“Insya-Allah selepas ini kita minta supaya mereka menternak lebah di Tasik Kenyir sama ada madu tualang dan sebagainya .

Ia bakal menjadi satu lagi produk pelancongan di Tasik Kenyir itu sendiri,” kata beliau di sidang akhbar selepas Perasmian Persidangan ke-11 Persatuan Perlebahan SeAsia (AAA) & Apiekspo 2012, di Dataran Awam Batu Buruk, Kuala Terengganu, kelnarin (28 September).

Turut berkenan berangkat dan mencemar duli melancarkan perasmian, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani negeri, Haji Asha’ari Idris,:Pengerusi AAA, Profesor Siriwat Wongsiri dan Naib

Pengerusinya, Datuk Dr Makhdzan Mardan. Menteri Besar turut berbangga dengan penganjuran persidangan yang memilih Terengganu sebagai tuan rumah mewakili Malaysia pada kali ini.

 “Tahniah Yayasan DiRaja Sultan Mizan dan juga AAA yang telah mengadakan persidangan dan ekspo di sini yang pertama kali di Malaysia untuk kali ke-11 peringkat Asia.

Bukan sahaja peringkat Asia sahaja terlibat, turut terdapat penyertaan 27 negara, malahan pameran turut melibatkan juga negara luar Asia seperti seperti Alaska,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu harus dipuji dan disokong oleh semua pihak khususnya umat Islam kerana terdapat ayat berkenaan haiwan turut di sebut dalam al-Quran (surah An-Nahl).

Selain itu, katanya Pengerusi AAA, Profesor Siriwat Wongsiri turut mengatakan bahawa kajian lebah merupakan kajian paling besar berikutan lebih 100 jurnal dikeluarkan mengenainya, malah Dr Makhdzan juga seorang yang terkehadapan di negara ini dalam membuat kajian berkaitan serangga itu.

No comments:

Post a Comment