Thursday, September 6, 2012

Mesyuarat 3 Jam Masih Gagal Atasi Kemelut Skuad Penyu

 

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang bermesyuarat selama kira-kira tiga jam di Kuala Terengganu semalam, gagal membuat sebarang keputusan dalam menangani kemelut skuad bola sepak negeri itu.

Sebaliknya mesyuarat diakhiri dengan pengumuman pembentukan satu jawatankuasa bagi menyiasat kontroversi yang mencalarkan skuad itu membabitkan tiga pemain iaitu Muslim Ahmad, Ismail Faruqi As'hari dan Sharbinee Allawee serta jurulatih Peter Butler.


Yang Dipertua PBDNT, Datuk Che Mat Jusoh berkata, jawatankuasa itu dibarisi semua anggota majlis PBSNT yang diketuai beliau sendiri.

"Kita (jawatankuasa) telah memanggil tiga pemain iaitu Muslim Ahmad, Ismail Faruqi dan Mohd Shabrinee Allawee untuk memberi penjelasan pagi tadi (semalam)," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Disiplin di Pejabat PBSNT di Kuala Terengganu, semalam.

Turut memberi penjelasan ialah ketua jurulatih Peter James Butler.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil Che Mat dan Mohd Shabrinee untuk memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Che Mat berkata, mesyuarat hari ini bukan bertujuan untuk membuat keputusan, sebaliknya untuk menasihatkan semua supaya tidak memperbesarkan isu tersebut kerana ia masih dalam siasatan.

"Kami hari ini hanya mahu mendapatkan maklumat sebenar (berhubung masalah tersebut) daripada mereka. Kami ingin tahu punca isu itu timbul," katanya. Beliau berkata perkara tersebut akan dibincangkan secara terperinci apabila mesyuarat majlis tertinggi PBSNT diadakan pada 17 Sept nanti.

Dalam perkembangan sama, Che Mat berkata, pemain-pemain atau pegawai PBSNT dilarang membuat sebarang kenyataan bagi mengelak isu tersebut berpanjangan.

"Jika ikut kontrak, pemain dan jurulatih tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan kepada sesiapa sahaja termasuk di laman web atau sosial Facebook dan Twitter.

"Kita bimbang apa sahaja yang kita luahkan akan disalahfaham oleh orang luar sehingga menimbulkan masalah pada keseluruhan pasukan selain masalah dalaman perlu diselesaikan 'di rumah'," ujarnya.

Ismail dan Muslim tidak diturunkan dalam dua perlawanan lalu kerana dikaitkan dengan masalah disiplin yang tidak lagi boleh dikompromi oleh Butler.

Presiden PBSNTitu menafikan khabar angin kononnya Butler, yang lantang bersuara akan ditamatkan khidmatnya sebagai jalan keluar untuk menyelesaikan kemelut yang melanda pasukan itu.

Katanya, kesemua mereka terlibat dipanggil pada mesyuarat jawatankuasa PBSNT semalam selepas Terengganu tersingkir dalam saingan Piala Malaysia setelah tewas 0-2 kepada ATM kelmarin.

Posisi Sharbinee sebagai penjaga gawang Terengganu diambil alih Md. Sharmiza Yusof ketika menentang ATM, kelmarin. Ini ekoran Butler hilang sabar dengan aksi penjaga gol itu ketika Terengganu menentang kedah Sabtu lalu.

Tambah Che Mat, tujuan utama mesyuarat itu diadakan bagi menyelesaikan semua kemelut dan berharap ia tidak lagi berpanjangan.

Menyentuh mengenai persiapan perlawanan terakhir Terengganu pada 14 September ini menentang Kelantan, Che Mat berkata, dua pemain tonggak itu dibenarkan turun berlatih selagi isu disiplin mereka belum disahkan kebenarannya.

Bagaimanapun katanya, Sharbinee tidak diturunkan perlawanan terakhir bagi memberi peluang kepadanya berehat.

Sumber - Utusan & Bernama

No comments:

Post a Comment