Thursday, September 6, 2012

Pemilik Dihadap ke Mahkamah Kerana Hotel Tiada CF

Wakil pemilik hotel (kiri) keluar dari kamar mahkamah bersama-sama pegawai bomba selepas sebutan kes kelmarin.
Gara-gara berdegil kerana tidak mendapatkan perakuan bomba (FC) untuk premis hotelnya, seorang pemilik hotel  dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kemaman dekat Chukai kelmarin.

Pemilik hotel berusia 35 tahun itu didapati tidak memiliki perakuan bomba berkuat kuasa bagi hotelnya yang merupakan sebuah premis ditetapkan menurut Jadual Premis Ditetapkan, Perintah Perkhidmatan Bomba (Premis Ditetapkan) 1998, dalam pemeriksaan yang dilakukan di premisnya di Chukai, kira-kira jam 4 petang 15 Ogos lalu.

Bagaimanapun, Hakim Rofiah Mohamad menetapkan kes disebut semula pada 17 September ini bagi membolehkan tertuduh menimbang semula sama ada mahu mengaku bersalah atau membicarakan kes berkenaan.

Mengikut fakta kes, tertuduh sebagai pengarah hotel berkenaan telah melanggar Seksyen 33 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 kerana tidak memiliki perakuan bomba berkuat kuasa menurut Seksyen 28(2) Akta Perkhidmatan Bomba 1988, Jika disabit bersalah, dia boleh dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 58 akta sama, memperuntukkan hukuman denda maksimum sebanyak RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang tidak hadir dan mewakilkan saudaranya diwakili peguam bela, Tay Keng Chee sementara pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Penolong Kanan Penguasa Bomba Syed A Jamaluddin Syed Mohamad.

Difahamkan, pemilik hotel berkenaan telah diarahkan bomba untuk mendapatkan perakuan tersebut sejak 2009 lagi tetapi sehingga pemeriksaan dilakukan pada Ogos lalu, dia masih tidak berbuat demikian.

Perintah Perkhidmatan Bomba 1988 di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988 menetapkan bahawa, sesebuah hotel yang mempunyai reka bentuk lain (mempunyai 21 bilik dan lebih) perlu mempunyai perakuan bomba.

Kata Syed A Jamaluddin ketika ditemui di luar mahkamah, sebelum ini di daerah ini terdapat dua pasar raya dijatuhi hukuman atas kesalahan sama dan dikenakan denda masing-masing sebanyak RM2,000.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment