Sunday, September 16, 2012

Perwakilan Perlu Buang Sikap Ego, Turun Padang Jumpa Rakyat

Perwakilan Umno diingatkan agar membuang sikap ego dan bersedia turun padang ke peringkat akar umbi bagi membolehkan rakyat di segenap lapisan bertemu muka dengan barisan kepimpinan yang menerajui negeri pada masa kini.

Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, sikap ego perlu diketepikan demi kebaikan parti kerana setiap perwakilan daripada cawangan sebenarnya mewakili parti dan akan menentukan imej parti pada mata rakyat.


“Kita perlu sentiasa bertemu rakyat dan sikap ego perlu dibuang kerana ia menjadi penghalang antara pemimpin dan masyarakat.

“Jangan ada antara kita yang bersikap ego kerana ia akan menyebabkan parti menjadi ‘mangsa’ tohmahan dan menerima kesan daripada rakyat khususnya pembangkang,” katanya.

Tengku Putera berkata, setiap perwakilan juga perlu pergi dari rumah ke rumah di setiap cawangan supaya mereka lebih dekat dengan rakyat. “Segala kesilapan terdahulu tidak harus diulangi sebaliknya kita harus belajar daripada pengalaman agar ia tidak berulang kembali.

“Saya menyeru agar semua perwakilan berhemah kerana ia akan menaikkan imej pemimpin sekali gus menonjolkan imej parti yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Hulu Terengganu 2012 di Padang Astaka Kuala Berang, di Kuala Berang, semalam.

Majlis disempurnakan perasmiannya oleh Naib Presiden Umno Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Kunjungan Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri itu turut membawa khabar gembira bukan sahaja kepada penduduk tetapi juga warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu apabila beliau turut menyerahkan memorandum bagi pembinaan IPD baru kepada Tengku Putera.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Hishammuddin turut menyambut baik pendekatan terbuka dilaksanakan sempena mesyuarat perwakilan berkenaan kerana ia bukan sahaja disertai perwakilan tetapi juga badan bukan kerajaan (NG0) dan rakyat pelbagai peringkat umur.

No comments:

Post a Comment