Tuesday, September 25, 2012

RELA - Elaun RM1,200 Hingga RM1,500 Sebulan Untuk Rondaan Bersama


Seramai 10,000 anggota Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) yang menyertai rondaan bersama pasukan keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini menikmati elaun bulanan baru antara RM1,200 hingga RM1,500 sebulan bermula dua bulan lepas.

Ketua Pengarah Rela, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, elaun tersebut merupakan satu pengiktirafan kerajaan kepada anggota Rela bertugas yang kebanyakannya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan berkhidmat secara sukarela dengan elaun harian yang kecil.
Menurutnya, sebelum ini anggota Rela hanya dibayar elaun antara RM10 hingga RM20 ketika diminta menjalankan tugas pengawalan di sesuatu majlis dan program anjuran pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

“Transformasi yang dilakukan terhadap Rela oleh kerajaan membawa perubahan kepada anggota agensi itu dalam semua aspek selain menikmati elaun lebih tinggi di samping diberi penghormatan menjalankan tugas lebih mencabar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perjumpaan Ketua Pengarah Rela Bersama Anggota Rela Terengganu dan Pusat Khidmat Komuniti Rela (PKKR) Felda Selasih, dekat Jabi, di kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Rela (Pengurusan) Lokman Said, Pengarah Rela Terengganu, Ahmad Wahab, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Ramlan Ali dan Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Abdul Malik Rani.

Mustafa berkata, dengan pemberian elaun itu, kerajaan dijangka membelanjakan RM7.2 juta setahun untuk membayar elaun bertugas kepada anggota yang terbabit dalam tugasan yang diarahkan oleh jabatan berkenaan.

"Mereka akan turut diberi pelindungan sehingga RM40,000 jika meninggal dunia ketika menjalankan tugas seperti rondaan bersama, menjaga sempadan, rondaan di sekolah dan sasaran penting lain,” katanya.

Beliau berkata, minat rakyat di negara untuk menyertai Rela mula menunjukkan perkembangan positif apabila keanggotaan agensi itu kini mencapai dua juta anggota berbanding 530,000 pada 2008.

Katanya, daripada jumlah itu 5,934 anggota adalah terdiri daripada peneroka Felda yang turut serta menyertai pasukan berkenaan.

No comments:

Post a Comment